KUALA LUMPUR – Pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) terus ditambah baik dalam Bajet 2018, antaranya kerajaan mencadangkan pengecualian cukai bagi perkhidmatan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT).
Semasa membentangkan Bajet 2018 yang bertemakan ‘Memakmur Ekonomi Yang Inklusif, Mengimbang Keunggulan Duniawi dan Ukhrawi, Demi Kesejahteraan Kehidupan Rakyat, Menuju Aspirasi TN50′ di Dewan Rakyat hari ini, Najib berkata pengecualian berkenaan akan berkuat kuasa mulai 1 April atau 1 Oktober tahun depan, berdasarkan pilihan PBT.
Pelepasan GST itu juga diberi ke atas pengimportan peralatan berkaitan industri minyak dan gas di bawah satu perjanjian pajakan, dibekalkan oleh syarikat yang berada di kawasan ditetapkan iaitu Labuan, Langkawi dan Tioman, mulai 1 Jan, 2018, katanya.
“Bercakap tentang GST, pihak kerajaan minta agar sudah-sudahlah dipolemikkan sebagai isu politik, kerana terbukti GST menjadi penyelamat kepada ekonomi kita tahun ini, kerana tanpa kutipan GST sebanyak RM41 bilion, kita tidak dapat bayangkan macam mana negara boleh menampung perbelanjaan yang diperlukan untuk rakyat,” kata beliau.
Najib, yang juga Menteri Kewangan berkata pelepasan GST diberi ke atas pengimportan barang bernilai tinggi seperti kapal terbang dan kapal laut oleh syarikat penerbangan dan perkapalan yang berdaftar di Malaysia.
Pelepasan GST turut diberikan kepada syarikat di dalam industri minyak dan gas yang mengimport pelantar minyak atau struktur terapung. Langkah ini bermula 1 Januari 2018, katanya.
“Layanan GST berkadar sifar ke atas bahan bacaan, diseragam dan diperluaskan meliputi semua jenis majalah, komik, journal dan terbitan berkala mulai 1 Januari 2018.
“Pelepasan GST sepenuhnya diberi ke atas perkhidmatan pebinaan bangunan sekolah dan rumah ibadat, yang dibiayai melalui sumbangan derma yang diluluskan. Pelepasan ini berkuat kuasa bagi kontrak perkhidmatan yang ditandatangani mulai 1 April, 2017,” katanya.
Najib berkata kerajaan juga merancang untuk memberi pelepasan GST kepada operator kapal persiaran ke atas perkhidmatan pengendalian yang dibekalkan oleh operator pelabuhan di Malaysia. Pelepasan ini bermula 1 Januari tahun depan sehingga 31 Disember 2020.
Sementara itu, beliau berkata , perkhidmatan pengurusan dan penyelenggaraan bangunan kediaman berstrata yang dibekalkan oleh Badan Pengurusan Bersama dan perbadanan pengurusan tidak dikenakan GST.
“Pengecualian ini diperluas untuk meliputi perkhidmatan pengurusan dan penyelenggaraan yang dibekalkan oleh pemaju perumahan, mulai 1 Januari 2018,” katanya. – BERNAMA