SHAH ALAM – Selangor merekodkan jumlah kes denggi tertinggi iaitu sebanyak 39,158 dengan 59 kematian dalam tempoh Januari sehingga semalam, berbanding negeri lain di seluruh negara.
Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya berkata bagaimanapun jumlah itu tidak membimbangkan dan menunjukkan trend penurunan sepanjang tempoh sembilan bulan pertama tahun ini.
“Kemungkinan Selangor mencatat rekod tertinggi wabak denggi disebabkan oleh faktor kutipan sampah yang tidak terurus kerana longgokan sampah mendorong kepada pembiakan wabak denggi ini.
“Selain itu, Selangor juga merupakan kawasan bandar, sektor pembangunan di sini banyak begitu juga dengan tapak-tapak pembangunan. Jadi, ini antara puncanya mengapa negeri ini merekodkan jumlah tertinggi dalam kes denggi ,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar HKL BURN 2017 di sini, hari ini.
Turut hadir Ketua Jabatan Pembedahan Plastik dan Rekonstruktif Hospital Kuala Lumpur (HKL) Dr Normala Basiron.
Dr Hilmi berkata demikian ketika mengulas mengenai laporan kes denggi yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan hari ini dengan sejumlah 71,892 kes dicatatkan di seluruh negara dan Selangor adalah negeri yang mempunyai kes tertinggi.
Wilayah Persekutuan pula merupakan negeri kedua yang mempunyai kes denggi tertinggi iaitu 6,785 diikuti Johor (6,511) dan Perak (4,896).
Dr Hilmi berkata bagi mengekang penularan wabak itu, pihaknya mengingatkan semua pihak termasuk agensi Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan pemilik kediaman supaya sentiasa menghapuskan tempat pembiakan nyamuk aedes.
“Kita sememangnya mendapat kerjasama yang baik daripada PBT dan pihak Kerajaan Tempatan di setiap negeri dalam membantu menghapuskan tempat pembiakan nyamuk-nyamuk aedes termasuk di kawasan yang dikenalpasti seperti bangunan lama dan kawasan pembinaan.
“Namun, saya mahu mengingatkan pemilik kediaman supaya tidak leka untuk memastikan kediaman mereka bersih daripada wabak ini termasuk tidak membiarkan air bertakung di kawasan rumah masing-masing,” katanya.
Sementara itu, Dr Normala berkata dua pelajar Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah yang terlibat dalam kebakaran pada September lepas, akan dibenarkan keluar dari HKL dalam tempoh terdekat.
“Keadaan mereka stabil dan beransur pulih sepenuhnya dengan luka terbakar tinggal satu ke dua peratus sahaja lagi. Kemungkinan mereka dibenarkan pulang dalam minggu ini atau selewat-lewatnya minggu depan,” katanya.
Dalam kejadian 14 Sept lepas, seramai 21 pelajar dan dua guru yang juga warden pusat tersebut terkorban akibat terperangkap di asrama pusat tahfiz itu yang terletak di tingkat paling atas daripada bangunan tiga tingkat itu pada 5.15 pagi.
Kejadian itu turut menyebabkan dua pelajar lelaki berusia belasan tahun terpaksa menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) HKL akibat cedera parah dan melecur teruk. – BERNAMA

