BERSEMPENA perlawanan akhir Piala Malaysia yang akan berlangsung pada 4 November ini, seorang pemilik restoran telah ‘menghadiahkan roti canai kepada pengunjung restorannya.
Mohd. Najmuddin Mohd Nor yang juga pemilik Restoran Didie Roti Canai yang terletak di Taman Tunku Maheran, Jitra, Kedah itu telah memberi roti canai bewarna hijau dan kuning kepada pelanggannya mulai 26 Oktober lalu.
Menurutnya yang berusia 30 tahun, ia sebagai pembakar semangat penyokong dan peminat pasukan Kedah menjelang perlawanan akhir Piala Malaysia yang akan menentang pasukan Johor Darul Takzim (JDT) akan datang.
“Saya gembira usaha ini mendapat sambutan dan orang ramai datang awal untuk mendapatkan roti canai Hijau Kuning percuma ini.
“Semua ini dilakukan selepas saya melihat semangat kuat penyokong yang tidak jemu menyokong pasukan Hijau Kuning.
“Namun, pelanggan hanya boleh menikmati roti canai Hijau Kuning terhad untuk malam ini (semalam) saja,” katanya dipetik Harian Metro.

Tambah Najmuddin, dia telah menggunakan 20 kilogram tepung gandum untuk menghasilkan 600 keping roti canai ‘Hijau Kuning’ itu.
Hebahan menerusi laman Facebook turut dibuat selain menghebahkannya sendiri kepada pelanggan-pelanggan di restorannya itu.
Aktiviti ini telah mendapat pujian daripada penyokong setia skuad Helang Merah yang menyifatkan tindakan Najmuddin itu sedikit sebanyak mampu menaikkan semangat pasukan Kedah.
“Saya tak pernah lepaskan peluang untuk menonton setiap perlawanan bola sepak yang membabitkan pasukan Kedah kerana sudah lama meminati pasukan ini,” kata Zara Azzahra Roslin, peminat pasukan Kedah.
Dalam pada itu, Najmuddin turut pernah memberikan 200 roti canai percuma pada tahun lalu apabila Kedah layak ke peringkat akhir bertemu pasukan Selangor di Stadium Shah Alam, Selangor. – MYNEWSHUB.CC

