ALOR SETAR – Pemberian insentif sebanyak RM200 selama tiga bulan kepada pesawah sementara menunggu hasil tuaian padi jelas membuktikan kerajaan sentiasa menghargai penat lelah golongan pesawah yang mengusahakan makanan ruji harian rakyat Malaysia.
Pengerusi Jawatankuasa Penyelaras Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), Musa Kamis berkata, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sentiasa memikirkan kemudahan dan kehendak pesawah bagi memastikan golongan tersebut berada dalam keadaan selesa.
“Ini merupakan suatu penghargaan daripada kerajaan yang mengangkat sektor pertanian setaraf dengan sektor industri lain, saya mewakili 57,000 peladang dalam Kawasan Muda mengucapkan terima kasih kepada beliau,” katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.
Ketika membentangkan Bajet 2018, perdana menteri mengumumkan peruntukan hampir RM150 juta bagi pemberian bantuan RM200 sebulan bagi tempoh tiga bulan itu kepada para pesawah.
Sementara itu, peruntukan sebanyak RM500 juta bagi menambah baik infrastruktur pengairan di kawasan pertanian dan menaik taraf jalan ladang pula katanya dilihat mampu meningkatkan kecekapan pengurusan ladang serta kualiti hidup masyarakat desa.
“Selain itu, pengumuman peruntukan sebanyak RM200 juta untuk sumber kekayaan baru khususnya untuk penanaman jagung bijian, kelapa, durian dan sektor kulinari serta industri tenusu turut memberi peluang penambahan pendapatan kepada peladang-peladang termasuk di kawasan MADA,” katanya.
Beliau turut berharap agar golongan peladang menghargai keprihatinan kerajaan tersebut dengan melipatgandakan usaha untuk terus menyumbang kepada negara. – BERNAMA