KOTA KINABALU – Rakyat digesa mengambil peluang dan memanfaatkan sepenuhnya teknologi internet yang ada bagi menjana pendapatan selain meningkatkan potensi diri dalam perniagaan, kata Exco Penerangan negeri Datuk Sapawi Ahmad.
Beliau berkata kerajaan menyediakan pelbagai program keusahawanan digital seperti e-Usahawan dan e-Rezeki bagi membolehkan rakyat menjana pendapatan secara digital seterusnya mampu bersaing dengan usahawan lain.
“Perkembangan dunia digital semakin pantas dan memerlukan kita menghadapi serta menyesuaikan keadaan untuk berubah dalam melonjakkan lagi ekonomi digital negara,” katanya berucap merasmikan program #Negaraku: Seminar Media Sosial 2017 peringkat Sabah di sini, hari ini.
Seminar sehari bertemakan Hal Ehwal Media Sosial itu dianjurkan Jabatan Penerangan Sabah dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia dengan kerjasama Jawatankuasa Penyelarasan Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia.
Sapawi berkata penyalahgunaan internet terutama dalam kalangan belia seperti penyebaran maklumat palsu dan buli siber perlu segera dibendung kerana ia dikhuatiri memberi kesan buruk kepada pembangunan golongan itu pada masa depan.
Beliau turut mengingatkan warga digital supaya mengamalkan sikap ‘Tabayyun’ iaitu menyemak dan memeriksa kesahihan sesuatu fakta berita atau perkara terlebih dahulu sebelum menyebarkannya.
Mengenai program itu, Sapawi berkata ia mampu memberi kefahaman dan kesedaran tentang isu semasa berkaitan ancaman media sosial selain kawalan kendiri terbaik bagi memastikan warga digital tidak mudah terjebak dengan perkara negatif menerusi internet seperti penyebaran ideologi Daesh dan jenayah seksual kanak-kanak.
“Ia juga platform bagi mewujudkan warga digital berminda kelas pertama yang mengamalkan etika penggunaan internet secara selamat, berwaspada dan bertanggungjawab,” katanya.
Lebih 300 peserta dari sektor awam, badan bukan kerajaan, pelajar universiti dan blogger menghadiri seminar itu. – BERNAMA