KANGAR – Seramai 3,586 orang pelajar yang menduduki peperiksaan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) di Perlis baru-baru ini akan terlibat dalam ‘Program Bangun Jiwa’ yang akan diadakan serentak di semua 27 buah sekolah menengah di negeri ini selama lima hari bermula Isnin ini.
Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang mengilhamkan program itu bertitah antara topik yang akan dikupas dalam program itu merangkumi aspek kehidupan berkeluarga, pengurusan diri, kesihatan, rawatan kecemasan bantuan pernafasan (CPR), hidup bermasyarakat, integriti, rasuah, agama dan budaya di Malaysia serta bahaya gejala najis dadah dan ketum.
Titah baginda program itu bertujuan memperkasa kesedaran pelajar tentang kepentingan menuntut ilmu di samping menampilkan sikap positif terhadap persekitaran mereka ke arah menghasilkan rakyat negeri Perlis bermentaliti kelas pertama.
Baginda bertitah demikian ketika merasmikan pelancaran program anjuran Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri dan Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis itu di Auditorium Dr Syed Mahmood, Jabatan Kesihatan Negeri Perlis di sini, hari ini.
Selain itu baginda bertitah program berkenaan juga diharap dapat mengekalkan rekod kehadiran terbaik bagi para pelajar tingkatan tiga ke sekolah selepas peperiksaan PT3.
Tuanku Syed Faizuddin Putra bertitah para pelajar diharap dapat mengambil peluang menimba ilmu dan maklumat sebanyak mungkin daripada penceramah-penceramah terbaik yang disediakan oleh pelbagai jabatan, agensi dan organisasi. – BERNAMA