JOHOR BAHRU – Seperti dijanjikan, Tunku Ismail Sultan Ibrahim menamakan putera pertamanya sempena dengan nama adindanya, almarhum Tunku Laksamana Johor, Tunku Abdul Jalil.
Justeru Tunku Mahkota Johor (TMJ) itu secara rasmi meletakkan nama anakanda keduanya tersebut yang juga bakal pewaris takhta Johor dengan nama Tunku Iskandar Abdul Jalil Abu Bakar Ibrahim Ibni Tunku Ismail.
Ia disahkan Yang Dipertua Jumaah Majlis Diraja Johor, Datuk Abdul Rahim Ramli yang berkata, pihaknya sukacita mengumumkan nama itu turut diperkenankan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar.
“Sultan Yang Dipertuan Bagi Negeri dan Jajahan Johor Darul Ta’zim dengan telek pandang dan limpah perkenan Tuanku dan dengan persekutuan Jumaah Majlis Diraja menamakan putera dan waris Tunku Mahkota Johor.
“Ia seperti berikut, Tunku Iskandar Abdul Jalil Abu Bakar Ibrahim Ibni Tunku Ismail,” kata beliau lagi secara ringkas dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan pihak majlis tersebut di sini petang Sabtu.
Almarhum Tunku Abdul Jalil mangkat pada 5 Disember 2015 di Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini akibat penyakit kanser, dan selamat disemadikan di Makam Diraja Mahmoodiah, di sini sehari selepas itu.
Adinda TMJ ketika itu berusia 25 tahun. Isteri TMJ, Che’ Puan Khaleeda Bustamam, selamat melahirkan putera tersebut di Wad Diraja HSA di sini, pagi Sabtu. TMJ dan isterinya itu bernikah pada 24 Oktober 2014 lalu.
Pasangan diraja itu mempunyai puteri sulung, Tunku Khalsom Aminah Sofiah yang lahir pada 25 Jun tahun lalu.
Dalam pada itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak turut merafak sembah tahniah kepada kerabat diraja Johor atas keputeraan waris takhta kerajaan Johor.
Beliau menzahirkan tahniah itu kepada Sultan Ibrahim, Tunku Ismail dan seluruh kerabat diraja Johor.
“Merafak sembah tahniah kepada DYMM Sultan Johor, DYAM Tunku Mahkota & seluruh kerabat diraja Johor atas keputeraan waris kepada takhta kerajaan Johor,” kata Najib menerusi akaun Twitternya.
Kelahiran berkenaan turut diumumkan oleh Abdul Rahim menerusi satu kenyataan media di sini, hari ini. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA