DALAM pada ketegangan mengenai isu kongsi gelap 9 ‘Dragons‘ yang dikatakan mengawal aktiviti jenayah di negara ini sejak bertahun-tahun lamanya, kini rahsia demi rahsia bakal terungkai.
Ia ekoran pendedahan berani Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) dan mantan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan dalam satu kenyataan pernah membongkar kewujudan kumpulan jenayah terancang berkenaan.
PPIM mengatakan bahawa sindiket haram di negara ini didakwa didalangi oleh sembilan ketua digelar Dragon selain mampu mengutip hasil lumayan RM5 bilion sebulan.
Kemudian, tampil Musa selaku bekas bos Bukit Aman pula mendedahkan kumpulan itu merupakan pakatan sulit yang telah lama wujud di antara rangkaian kongsi gelap dengan pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sendiri.
Baca: PPIM Tidak Gentar Ugutan Sindiket 9 Dragons
Juga: 9 Dragons: Bekas KPN Pernah Buka Cerita
Terbaru, PDRM mendedahkan terdapat dalang dan ketua sindiket perjudian di Malaysia yang terdiri daripada golongan kenamaan bergelar Datuk, Datuk Seri serta Tan Sri.
Memetik laporan Astro Awani semalam, perkara tersebut telah disahkan oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun dan menyifatkan golongan itu menggunakan pengaruh sebagai ‘tiket’ bagi melindungi sindiket haram berkenaan.
“Saya tidak boleh dedah siapa mereka kerana bimbang akan ganggu siasatan kes. Bagaimanapun ada dalam kalangan mereka terdiri daripada orang kenamaan berpangkat Datuk, Datuk Seri dan Tan Sri diburu,” katanya.
Dalam pada itu, Mohamad Fuzi ketika ditanya mengenai lokasi sindiket berkenaan, beliau memaklumkan perkara itu adalah sulit dan tidak boleh didedahkan kepada umum kerana bimbang ia akan mengganggu sisatan.
“Untuk makluman kita telah mengenal pasti siapa mereka ini, kalau saya dedah lokasi dan individu tersebut sudah pasti mereka akan melarikan diri ke lokasi lain termasuk luar negara.
“Sindiket perjudian terbesar negara ini terdapat di seluruh negara,” ujarnya.
Lagi: ‘9 Dragons’ Didalangi Ahli Politik Berpengaruh
Sementara itu, Mohamad Fuzi sangat menegaskan agar semua pihak dapat memberi ruang kepada PDRM untuk menyiasat kes ini dan menangkap mereka yang terlibat ke muka keadilan.
“Beberapa kali saya tegaskan bahawa kita tidak akan bersekongkol dengan pihak yang terlibat termasuk anggota PDRM.
“Tetapi saya minta jangan ada dakwaan mengatakan terdapat anggota polis ‘dibayar’ untuk melindungi kegiatan ini,” katanya. – MYNEWSHUB.CC/AM