JOHOR BAHRU – Jabatan Imigresen Johor memberi peluang kepada majikan pekerja asing untuk segera mendaftarkan pekerja mereka di bawah Program Penggajian dan Penempatan Semula Pendatang Asing Tanpa Izin atau Program Rehiring yang berakhir pada 31 Dis.
Pengarahnya Datuk Rohaizi Bahari berkata berdasarkan statistik oleh tiga syarikat yang dilantik bagi membantu pendaftaran pekerja asing, terdapat hampir 100,000 pekerja asing berada di negeri ini, namun, jumlah yang mendaftar sehingga kini masih pada tahap kurang memuaskan.
“Kita menyasarkan sekurang-kurangnya 50 peratus pekerja asing berdaftar dengan Jabatan Imigresen tetapi sehingga 28 Sept lepas, hanya seramai 7,755 pekerja didaftarkan dengan 4,900 daripadanya telah mendapat Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS).
“Baki 2,855 permohonan kini masih dalam proses saringan kesihatan daripada Agensi Pemantauan Pemeriksaan Perubatan Pekerja Asing (FOMEMA) dan mana-mana pekerja asing yang gagal kita akan hantar pulang ke negara asal menerusi program 3+1,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis Menandatangani Ikrar Bebas Rasuah Jabatan Imigresen Johor yang disaksikan Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor Datuk Azmi Alias di Kompleks Kementerian Dalam Negeri (KDN) Setia Tropika, di sini hari ini.
Rohaizi berkata pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana majikan yang gagal mendaftarkan pekerja mereka selepas tempohitu.
“Mana-mana pekerja asing yang ditangkap tidak memenuhi syarat, kita akan jalankan siasatan dan pendakwaan bukan sahaja kepada pekerja tetapi untuk majikan sekali dengan kompaun bagi setiap pekerja asing adalah sebanyak RM5,000.
Program Rehiring yang bermula Februari tahun ini sebelum ini dijadualkan tamat pada 30 Jun lepas, namun, ditunda sehingga hujung tahun ini bagi membolehkan majikan mendaftar pekerja masing-masing.
Kerajaan melalui KDN melantik tiga syarikat iaitu Syarikat International Marketing and Net Resources Sdn Bhd (IMAN), Syarikat Bukti Megah Sdn Bhd dan Konsortium PMF bagi membantu Jabatan Imigresen mengendalikan program Rehiring.
IMAN berperanan menguruskan pekerja asing warga Indonesia, Bukti Megah Sdn Bhd mengendalikan pekerja asing warga Myanmar manakala Konsortium PMF pula menguruskan pekerja asing lain-lain warga negara. – BERNAMA