GEORGE TOWN – Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) mencadangkan supaya pemasangan alat penjimatan air (WSD) dijadikan mandatori dalam semua projek pembangunan baharu di negeri itu.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Jaseni Maidinsa berkata langkah tersebut adalah bagi mengurangkan penggunaan air khususnya semasa musim kering selaras dengan dasar ‘Tiada Catuan Air’ yang diperkenalkan oleh negeri itu.
Beliau berkata cadangan mewajibkan pemasangan WSD telah dikemukakan kepada kerajaan negeri pada 20 Okt lepas.
“Cadangan kami adalah untuk menggesa pindaan Undang-Undang Kecil Bangunan Seragam Pulau Pinang 1986 bagi mewajibkan pemaju memasang alat-alat WSD di semua projek pembangunan masing-masing,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Berikutan pindaan tersebut, katanya, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) kemudian akan menguatkuasakan peraturan tersebut yang menggalakkan penjimatan air secara besar-besaran dan jangka panjang di negeri itu.
Jaseni berkata WSD sudahpun digunakan di premis mesra air seperti tandas awam di pusat beli-belah utama serta beberapa kilang dan kompleks pejabat di negeri itu.
“PBAPP telah memasang pelbagai jenis peralatan WSD dalam bangunannya sejak 2012. Kami mendapati WSD dapat mengurangkan penggunaan air secara berkesan antara 14 hingga 87 peratus,” katanya.
WSD direka untuk menjimatkan air secara automatik tanpa memerlukan pengguna mengubah urusan hairan dan tabiat penggunaan air mereka. – BERNAMA