PUTRAJAYA – Malaysia akan mempertimbangkan permintaan untuk mengimport haiwan ternakan hidup dari negara lain seperti Afrika Selatan dan Oman bagi meningkatkan bekalan dan menampung permintaan daging di dalam negara.
Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata langkah itu dapat mengurangkan kebergantungan import haiwan ternakan hidup seperti kambing, kerbau, lembu dan bebiri dari Australia dan Thailand.
Katanya ketika perjumpaan dengan pengimport-pengimport, mereka meminta agar Jabatan Veterinar membenarkan pengimportan haiwan ternakan hidup dari negara lain.
“Usaha ini akan memperbanyakkan sumber import serta harga stabil dan menjadi lebih murah berbanding sekarang yang mana harga daging di negara ini semakin meningkat kerana kita bergantung pada bekalan dari Australia dan Thailand sahaja,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Sebelum itu, Tajuddin mengadakan mesyuarat bersama kira-kira 50 pengimport lembu, kerbau, kambing dan bebiri di Wisma Tani di sini hari ini.
Kini, Malaysia mengimport 92,155 ekor lembu, kerbau, kambing dan bebiri dari negara Australia dan Thailand yang bernilai RM171,976,914 (nilai CIF – cost insurance and freight) dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun ini.
Tajuddin berkata kementerian melalui Jabatan Veterinar akan mengkaji semula pengimportan baka kambing dan bebiri untuk diternak di dalam negara ini.
Sementara itu, Tajuddin berharap kerajaan akan menyalurkan peruntukan tambahan kepada kementerian untuk memajukan industri asas tani termasuk menanam tanaman yang mempunyai nilai ekonomi tinggi dan melahirkan usahawan serta petani muda dalam pembentangan Bajet 2018 Jumaat ini.
Beliau berkata peruntukan dalam bajet akan digunakan untuk program-program kesedaran, latihan dan juga ekspo bagi menarik lebih ramai generasi muda menceburi bidang pertanian yang menguntungkan. – BERNAMA