KOTA BHARU – Bukan kehendaknya untuk bergelar ibu tunggal, apatah lagi terpaksa membesarkan empat anaknya seorang diri.
Namun, Rosilawati Ramli, 37, tetap gagah menerima dugaan itu dengan hati terbuka.
Selepas bercerai dengan suaminya yang merupakan penagih dadah, kira-kira dua tahun lalu, dia terpaksa memerah kudrat bekerja sebagai pembersih rumah dengan pendapatan RM20 sehari.
“Pendapatan sebanyak RM20 sehari sudah tentu tidak cukup untuk menampung keperluan harian kami, apatah lagi mahu menjelaskan bil tertunggak.
“Saya tidak mampu. Hendak makan pun perlu bercatu, manakala perbelanjaan sekolah dua anak tidak pernah berkurangan,” katanya kepada portal BH Online.
Malah, ibu tunggal ini akan ke pasar minggu di Kampung Kedai Lalat, di sini, setiap minggu bagi mengutip sisa sayur, buah dan lauk yang tidak boleh dijual untuk dibawa pulang.

Rosilawati terpaksa membuang rasa malu dan memekakkan telinga terhadap tanggapan orang sekeliling asalkan dapat mengisi perut anak-anaknya yang menunggu di rumah.
“Malu dan sedih sudah tidak saya pedulikan lagi asalkan perut anak terisi kerana saya tidak mampu menyediakan makanan sedap untuk mereka,” katanya.
Menurut Rosilawati, terdapat segelintir peniaga baik hati yang memberikan makanan kepadanya, malah ada juga makanan yang dikutipnya di tong sampah asalkan dirasakan masih boleh dimakan.
Bagaimanapun, ibu tunggal ini sekali lagi diuji apabila baru-baru ini diarahkan keluar dari rumah sewanya lantaran tidak mampu menjelaskan tunggakan bil elektrik melebihi RM600.
Hal ini membuatkan Rosilawati sejak kelmarin terpaksa menumpang di rumah rakannya yang juga ibu tunggal di kawasan berdekatan.
Kisah ibu tunggal berhati mulia ini mendapat simpati apabila ditularkan dalam media sosial.
Bagi yang ingin menghulurkan bantuan, anda boleh menghubungi Rosilawati di talian 013-7102207. – MYNEWSHUB.CC
