KUALA LUMPUR – Pasukan Kuala Lumpur menjulang kejuaraan Liga Perdana 2017 walaupun tewas 1-3 kepada Johor Darul Ta’zim II (JDT II) pada aksi terakhir liga di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang, Johor Bahru, malam tadi.
Kejayaan itu juga dibantu kekalahan pesaing terdekat, Terengganu yang turut tewas 1-3 kepada PKNP FC di Stadium Perak, Ipoh.
Pasukan Kuala Lumpur dan Terengganu mengesahkan tiket ke saingan Liga Super musim depan lebih awal, setelah menduduki dua tangga teratas saingan Liga Perdana, musim ini.
Pada aksi di Johor Bahru, skuad Harimau Selatan selesa mendahului 3-0 hasil jaringan Jeronimo Barrales seawal minit ketiga, D. Saarvindran (minit ke-20) dan Nicolas Fernandez pada minit ke-60, sebelum penjaring terbanyak Liga Perdana, Guilherme De Paula mengurangkan defisit jaringan menerusi sepakan penalti pada minit ke-63.
Terdahulu, kedua-dua pasukan terpaksa beraksi dengan 10 pemain setelah pemain JDT II, Daniel Sang Ting dan pemain Kuala Lumpur, Na’im Nazmi Zainudin dilayangkan kad merah oleh pengadil perlawanan Suhaizi Shukri kerana terlibat dalam pergaduhan pada minit ke-67.
Di Stadium Perak, pasukan Terengganu terlebih dahulu berada di hadapan menerusi jaringan Tchetche Hermann Brice Kipre seawal minit keenam perlawanan sebelum PKNP FC bangkit melakar tiga gol hasil jaringan Gilberto Valdenesio pada minit ke-51 dan Hyeon Woo Kim pada minit ke-65 dan 67.
Terdahulu, Terengganu terpaksa beraksi dengan 10 pemain pada penghujung babak perlawanan setelah Gabriel Dos Santos dilayangkan kad merah oleh pengadil, Shaharuddin Man kerana mengasari pemain tuan rumah, Mohd Irwan Syazmin.
Pasukan UiTM FC pula meraih tiga mata di laman sendiri selepas menang selesa 4-1 ke atas wakil Pahang, Kuantan FA di Stadium UiTM, Shah Alam.
Empat gol skuad ‘The Lions Troop’ dijaringkan Raslam Khan pada minit ke-12, Akanni Sunday Wasiu (minit ke-22 dan ke-26) serta Do Donghyun pada minit ke-25 sebelum Kuantan FA merapatkan defisit jaringan hasil sentuhan penyudah Abdul Malik Mat Ariff pada minit ke-33.
Turut meraih tiga mata adalah Sabah yang menang tipis 2-1 ke atas Negeri Sembilan di Stadium Likas, Kota Kinabalu.
Pasukan bawahan liga, MISC-MIFA pula kekal dalam saingan Liga Perdana musim depan setelah menang selesa 3-0 ke atas Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya.
Tiga gol pasukan kendalian Jacob Joseph itu dijaringkan V. Satheskumar pada minit ke-38, Sean Kpah Sherman menerusi sepakan penalti pada minit ke-66 dan M. Youwaransan pada minit ke-78.
Dalam pada itu, kemenangan 2-1 dilakar Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ke atas Perlis di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, tidak membawa sebarang makna setelah kedua-dua pasukan tersingkir ke saingan Liga Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) musim depan, setelah menghuni dua tangga tercorot carta Liga Perdana.
Dua gol ATM dijaringkan Pavel Smolyachenko pada minit ke-54 dan Muhammad Faiz Ibrahim pada minit ke-89, manakala Perlis meraih gol sagu hati menerusi Muhammad Zafuan Azeman pada minit ke-85. – BERNAMA