SEREMBAN – Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat mengharapkan khabar gembira khususnya dari segi penambahbaikan bagi lapan kumpulan sasar di bawah tanggungjawab kementerian itu, melalui Bajet 2018 yang akan dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 27 Okt ini.
Menterinya Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata lapan kumpulan sasar di bawah tanggungjawab kementerian itu antaranya warga emas, wanita, kanak-kanak, orang kelainan upaya, pesakit terlantar dan badan bukan kerajaan.
“Sebelum ini memang kami ada banyak perjumpaan dengan kumpulan-kumpulan sasar kami untuk melihat apa kehendak, keperluan dan permintaan mereka. Memang kami mohon penambahbaikan untuk semua kumpulan sasar seperti apa yang dikehendaki mereka.
“… dan kami mohon macam-macam, tetapi sama-samalah kita nantikan pada pembentangan bajet itu nanti,” katanya kepada pemberita selepas Sambutan Hari Warga Emas 2017 di sini, hari ini.
Program anjuran Pertubuhan Wanita Negeri Sembilan (NSWO) itu turut dihadiri Yang Dipertua NSWO Raja Datin Seri Salbiah Tengku Nujumudin.
Rohani bagaimanapun yakin bahawa pembentangan bajet itu kelak akan meliputi kesemua kumpulan di bawah tanggungjawabnya itu.
Ketika ditanya mengenai dakwaan sesetengah pihak bahawa bajet 2018 adalah gula-gula politik daripada kerajaan, Rohani bagaimanapun menangkis dakwaan itu sebaliknya menyatakan bajet itu adalah perbelanjaan kerajaan yang bertanggungjawab dalam memastikan kesejahteraan rakyat.
Dalam perkembangan lain, Rohani berkata seramai 134,789 penerima sumbangan Bantuan Orang Tua (BOT) melibatkan jumlah bantuan sebanyak RM360.8 juta direkodkan di seluruh negara sejak Januari tahun lepas sehingga Ogos ini.
“Bantuan ini diberikan kepada warga emas berusia 60 tahun ke atas yang tiada sumber pendapatan, untuk menyara hidup dan tiada keluarga atau mempunyai keluarga yang tidak berkemampuan untuk memberi sumbangan kepada warga emas ini.
“Penerima sumbangan BOT untuk Negeri Sembilan sahaja dalam tempoh Januari tahun lepas hingga Oktober tahun ini melibatkan seramai 8,899 orang penerima dengan jumlah bantuan hampir RM2.7 juta,” katanya.
Pada majlis itu, seramai 300 warga emas menerima sumbangan BOT. – BERNAMA