GEORGE TOWN – Kementerian Pendidikan berhasrat memperkenalkan semula Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI) sekiranya menghadapi masalah kekurangan guru yang serius, kata Timbalan Menterinya Datuk Chong Sin Woon.
Beliau berkata kursus itu dijangka dilaksanakan dalam tempoh lima tahun dari sekarang.
“Ketika ini masalah kekurangan guru di semua sekolah tidak begitu serius dan menjadi perkara biasa apabila ada guru bersara, bersara awal atau mengambil cuti tahunan dalam tempoh lama. Kekurangan guru disebabkan perkara itu adalah lumrah,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Pendidikan 2017 Kesatuan Kebangsaan Guru-Guru Besar Malaysia Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) di sini, hari ini yang dihadiri 563 guru besar.
Mengenai masalah kekurangan guru di SJKC, beliau berkata kementerian akan menghantar 319 Guru Sandaran Tidak Terlatih (GSTT) ke seluruh negara pada 23 Okt ini.
Sementara itu mengulas dakwaan soalan peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) yang susah dan mencabar bagi tahap pemikiran murid berusia 12 tahun, Chong berkata sistem pendidikan kini adalah berteraskan aras berfikiran tinggi.
“(Mereka) yang memberi komen mengenai susah adalah orang dewasa yang tidak mengikuti kurikulum kita, kalau yang mengikuti kurikulum kita ia bukan kategori susah. Sebenarnya ia adalah berfikiran aras tinggi atau Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) yang telah diajar di sekolah.
“Ia nampak sukar sebab kita tidak biasa dengan set-set soalan sebegitu… kita laksanakan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) kerana kita dapati pelajar kita walaupun memperolehi banyak A (dalam peperiksaan) tetapi bila diletakkan dalam pertandingan ataupun test team, pencapaian kita adalah rendah,” katanya.
Justeru Chong berkata pada masa ini, memperoleh deretan A bukan sesuatu yang perlu dibanggakan kerana apabila sampai ke peringkat antarabangsa, Malaysia dikategori atau berada dalam senarai yang sama dengan negara-negara yang tidak membangun.
“Kementerian Pendidikan menerima dana yang terbesar dalam bajet setiap tahun. Jadi kalau anak-anak kita tidak mencapai peringkat antarabangsa maka ia tidak boleh sama dengan pembangunan negara yang hendak mencapai negara maju,” katanya. – BERNAMA