MENJADI satu trend buat selebriti untuk mempunyai produk mereka sendiri, namun pasukan suami dan isteri Aeril Zafrel dan Wawa Zainal telah memberi amaran kepada rakan artis lain supaya berhati-hati dengan ‘serigala berbaju kambing’ apabila memilih rakan kongsi perniagaan.
Aeril dan Wawa telah rugi RM100,000 kepada seorang ahli perniagaan yang pada mulanya dianggap boleh dipercayai, selepas individu tersebut berjanji untuk membantu mereka melancarkan jenama minyak wangi sendiri pada bulan Mac tahun lalu.
Apabila menyedari mereka telah ditipu, pasangan itu bertindak untuk membuat laporan polis terhadap ahli perniagaan berstatus Datuk itu.
Namun mereka akur dengan kekhilafan diri kerana mempercayai bulat-bulat dan memohon semua rakan-rakan artis agar lebih berhati-hati apabila menjalankan usahasama dengan mana-mana individu.
Kata Aeril, 28, dia dan isteri telah bertemu dengan Datuk itu awal tahun lalu selepas lelaki itu menawarkan untuk melancarkan jenama minyak wangi mereka sendiri.
“Datuk itu mengaku sebagai seorang peminat filem tempatan dan telah membantu banyak artis lain untuk memperkenalkan jenama produk mereka sendiri,” kata Aeril lagi.
Aeril dan Wawa menganggap Datuk itu benar-benar ikhlas membantu kerana dia telah membawa mereka ke kilang kosmetik dan juga pejabat milinya di Shah Alam.
“Dia berjanji untuk memasarkan minyak wangi kami pada Mei tahun lalu.
“Bukan sahaja itu, dia juga telah mengambil RM100,000 untuk memulakan usahasama kami itu,” ” cerita Aeril kepada New Straits Times semalam.
Namun apabila Datuk itu gagal dihubungi tiga bulan selepas itu, Aeril dan Wawa pergi ke pejabatnya, namun dia tidak berada di premis berkenaan.
“Kami menelefonya berulang kali untuk meminta kembali wang kami, namun apabila dia membalas panggilan kami, dia mengatakan akan mengirimkan cek.
“Memang dia ada masukkan cek namun cek tersebut ‘tendang’,” cerita Aeril lagi.
Sesetengah bekas pekerja Datuk itu memberitahu pasangan tersebut bahawa duit mereka telah digunakan kepada saluran lain.
“Kami cuba untuk menghubungi isteri dan anak-anaknya, namun keluarganya juga tidak mengetahui di mana dia berada.”
Selepas menunggu selama 19 bulan, akhirnya pasangan itu membuat laporan polis di balai polis daerah Petaling Jaya pada Isnin lalu.
Mengakui kesal dengan insiden tersebut, Aeril dan Wawa kini lebih berhati-hati dalam memilih rakan kongsi perniagaan akibat sudah ‘fobia’ ditipu lagi.-MYNEWSHUB.CC