KUALA PERLIS – Seramai 400 anggota Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) melaksanakan aktiviti gotong-royong Program Jiwa Murni di Masjid Ar-Rahmaniah di sini hari ini.
Komandan Palapes UniMAP, Kolonel Datuk Prof Dr Zul Azhar Zahir Jamal berkata program anjuran pihaknya dengan kerjasama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) itu melibatkan aktiviti membersihkan kawasan masjid, keceriaan landskap serta mengecat dan membaik pulih kemudahan asas untuk jemaah.
Beliau berkata program yang diadakan itu bertujuan melahirkan graduan holistik di samping memupuk semangat sukarelawan dalam diri mahasiswa.
“Selain itu program ini mampu mewujudkan jalinan kerjasama erat antara universiti dengan masyarat setempat selaras dengan moto ‘Universiti dan masyarakat berpisah tiada’,” katanya di sini hari ini.
Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selaku Canselor UniMAP dan Yang Dipertua MAIPs berkenan merasmikan program berkenaan. Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs Mohd Nazim Mohd Noor. – BERNAMA
