KUALA PERLIS – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Perlis menahan sebuah bot pukat tunda kelas C yang didapati melanggar syarat lesen ketika melakukan aktiviti menangkap ikan kira-kira 2.4 batu nautika dari pantai Kuala Sanglang, Kedah dekat sini malam tadi.
Pengarah Maritim Pangkalan Kuala Perlis, Lt. Komander Maritim Mohd Azlan Osman berkata pihaknya menahan lima nelayan termasuk tekong, berumur 24 hingga 45 tahun dalam operasi 10.12 malam itu.
“Tiga orang daripada awak-awak tersebut adalah warga tempatan manakala dua lagi warganegara Thailand,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Beliau berkata bot tersebut melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 kerana menjalankan aktiviti penangkapan di kawasan bawah lima batu nautika dari pantai sedangkan syarat lesen vesel mereka ialah Zon C iaitu 12 batu nautika ke atas.
APMM katanya memandang serius segala aktiviti yang menyalahi undang-undang maritim kerana banyak memberi kesan terhadap ekosistem perairan negara.
APMM turut meminta kerjasama orang ramai agar melaporkan sebarang kes penyeludupan atau jenayah maritim di perairan negeri ini melalui talian Malaysia Emergency Response Services (MERS 999) atau Pusat Operasi Pangkalan Maritim Kuala Perlis, Wilayah Maritim Utara di talian 04-9851072 atau 04-9851162. – BERNAMA

