JASIN – Kerajaan Negeri Melaka melalui kerjasama dengan kerajaan persekutuan membangunkan 62,644 unit Rumah Mampu Milik (RMM) di seluruh negeri ini sejak 2013 hingga sekarang, kata Ketua Menteri Datuk Seri Idris Haron.
Beliau berkata daripada jumlah itu, sebanyak 30,534 unit RMM dibangunkan jabatan atau agensi kerajaan negeri termasuk Lembaga Perumahan Melaka, Perbadanan Kemajuan Tanah Adat Melaka, Perbadanan Kemajuan Negeri Melaka, Perbadanan Ketua Menteri dan pemaju swasta.
Beliau berkata sebanyak 32,110 unit RMM pula dibangunkan jabatan atau agensi persekutuan seperti Perbadanan PR1MA Malaysia, Syarikat Perumahan Negara, Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia dan Jabatan Perumahan Negara.
“Bagi mengekalkan daya saing pembinaan RMM, kerajaan negeri Melaka telah menetapkan dasar pembinaan RMM sejak 2014 yang mana kita menetapkan bagi projek pembinaan pembangunan melebihi 3.24 hektar, pemaju diwajibkan membina RMM sebanyak 40 peratus.
“Kita juga telah menetapkan harga RMM di Melaka tidak melebihi RM180,000 seunit dengan keluasan minimum 1,000 kaki persegi, mempunyai tiga bilik tidur dan dua bilik air,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Rumah Contoh RMM Merlimau di sini, hari ini.
Turut hadir Exco Perumahan, Kesejahteraan Bandar, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar Melaka Datuk Ar Ismail Othman dan anggota Dewan Undangan Negeri Merlimau Datuk Roslan Ahmad.
Mengulas lanjut, Idris berkata sebanyak 10,174 unit RMM telah siap dibina dan diduduki; sedang dalam pembinaan 24,268 unit; manakala telah mendapat kelulusan dan akan dimulakan pembinaan dalam masa terdekat sebanyak 28,202 unit.
Beliau berkata pencapaian Melaka dalam sektor pembangunan perumahan sangat membanggakan seperti dilaporkan Jabatan Perangkaan Malaysia bahawa peratusan pemilikan rumah di Melaka adalah 84.4 peratus lebih tinggi daripada peratus pemilikan rumah di peringkat nasional iaitu sebanyak 76.1 peratus.
Sementara itu, beliau berkata projek RMM Merlimau yang dibangunkan Wawasan Intact Properties Sdn Bhd merangkumi 902 unit rumah teres yang dijual pada harga RM156,750 hingga RM180,000 seunit mengikut kategori bumiputera dan bukan bumiputera.
Katanya selain itu, sebanyak 17 unit kedai mampu milik juga turut dibangunkan di bawah projek di tanah berkeluasan 35.5 hektar itu yang dijangka siap sepenuhnya pada penghujung Ogos tahun depan. – BERNAMA