GEORGE TOWN – Tiga mayat mangsa tragedi tanah runtuh di Lengkok Lembah Permai, Tanjung Bungah di sini Sabtu lalu telah di tuntut waris masing-masing hari ini.
Pengarah Jabatan Kesihatan Pulau Pinang, Datuk Dr M. Sukumar berkata mengikut laporan Jabatan Forensik Hospital Pulau Pinang (HPP), mayat yang dituntut petang tadi ialah dua mayat warga Bangladesh dan seorang mayat warga Pakistan.
“Saya difahamkan hanya tiga mayat yang dituntut hari ini daripada Jabatan Forensik dan masih berbaki lima mayat yang tidak dituntut waris,” katanya kepada Bernama.
Beliau berkata Jabatan Forensik menerima 11 mayat dari tempat kejadian tanah runtuh dan tiga mayat telah dituntut keluarga masing-masing pada Isnin lepas.
Dua mayat rakyat Indonesia iaitu Erwin Salis dan Hosrin Sharif dituntut keluarga masing-masing pada Ahad lepas manakala mayat rakyat Malaysia, Yuan Kuok Wern dituntut keluarganya Isnin lepas.
Sejumlah 11 pekerja terdiri daripada seorang rakyat tempatan; empat Bangladesh; dua Indonesia; tiga Myanmar dan seorang Pakistan maut apabila ditimbus tanah lereng bukit yang runtuh. Ketika kejadian pada pukul 8.57 pagi, kesemua mereka sedang bekerja di tapak pembinaan itu.
Kesemua mayat dihantar ke HPP. – BERNAMA