NAMA pelakon bertubuh sasa ini pernah meletup sekejap pada sekitar Mei lalu apabila gambar seksinya di atas kapal ketika sedang bercuti di Sepanyol mencetuskan kontroversi.
Sejak dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2017 (ABPBH2017) lalu, Zul semakin digilai oleh para peminat lebih-lebih lagi peminat wanita.
Bahkan ketika gambar kontoversi itu tular, semakin ramai gadis yang ‘kena sawan’ melihat wajah tampan dan tubuh sado pelakon itu.
Namun, pelakon filem J Revolusi ini tampil dengan imej berjambang bagi menjayakan filem terbarunya bertajuk Tombiruo: Penunggu Rimba.
Bagaimanapun, Zul kini kembali dengan imej lamanya iaitu bercukur rapi.
Kebelakangan ini pula, Zul sedang aktif mempromosikan filem yang diadaptasikan daripada karya novel penulisan novelis Ramlee Awang Murshid itu.
Dalam filem itu, Zul memegang watak sebagai Ejim dan watak itu memerlukan dia memakai topeng dan mengenakan beberapa aksesori di badannya untuk wataknya benar-benar ‘hidup’.
Zul Ariffin atau nama sebenarnya Zulkifli Ariffin, 31, terpaksa berlakon tanpa berbaju dan itu membuatkan ada mulut jahat yang menuduhnya menjadi mangsa eksploitasi kerana penampilannya yang tak berbaju dalam filem tersebut.
Erk, jarang dengar lelaki dipergunakan secara seksual!
“Persoalan mengenai tubuh badan saya dieksploitasi kerana saya tidakberbaju rasanya ia tidak perlu timbul kerana naskhah itu sendiri sudah cukup kuat untuk menarik penonton ke pawagam,” jelasnya ketika ditanya oleh mStar Online.
Bagi anda yang mengikuti karya Ramlee Awang Murshid, pasti anda akan tahu jalan cerita novel ini dan ia akan lebih memudahkan anda untuk memahami jalan ceritanya.
Watak Ejim di dalam novel ini sendiri menggambarkan bahawa dia seorang lelaki yang memiliki tubuh yang sasa. Jadi, Zul sememangnya pelakon yang layak diberikan watak itu.
“Bukan mudah sebenarnya hendak ‘jual’ badan dalam menghidupkan watak Ejim, tambahan pula saya tak dapat menunjukkan reaksi wajah kerana bertopeng.
“Ia satu cabaran besar buat saya sebagai pelakon dan ia melangkaui daripada hanya mahu menayangkan badan semata-mata. Tapi saya puas kerana ia satu perkara baharu yang dapat saya lakukan sebagai pelakon,” tambahnya lagi.
Selepas kontroversi mengenai gambar seksinya ketika bercuti itu, Zul telah menyahaktifkan akaun Instagram miliknya pada awal Julai yang lalu.
Namun tindakannya dengan berbuat demikian bukanlah kerana mempunyai masalah peribadi mahupun tertekan kerana komen negatif yang diterimanya itu.
Tindakannya itu juga dianggap olehnya sebagai ‘membersihkan’ imejnya sebagai simbol seks semata-mata.
“Saya cuma deactivate akaun Instagram saya buat seketika sahaja sebab bimbang menjadi ketagih. Ibaratnya bercuti dari media sosial sekejap, bukan kena godam atau sabotaj pun,” katanya lagi.
Filem Tombiruo: Penunggu Rimba ini bakal menemui penonton di pawagam pada 12 Oktober ini dan ianya merupakan karya arahan Seth Larney.
Filem ini menjadi lebih kuat lagi apabila dibarisi dengan pelakon hebat seperti Datuk M.Nasir, Faizal Hussein, Farid Kamil, Dynaz Mokhtar, Nabila Huda dan Hasnul Rahmat. – MYNEWSHUB.CC/Ainaa Hafizah