KEMAMAN – Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani menggalakkan lebih ramai nelayan menyertai Skuad Sukarelawan Perikanan (Super) dan Kumpulan Keselamatan Nelayan (Kukenal) bagi membantu agensi kerajaan membanteras aktiviti pencerobohan dan penyeludupan di tengah laut.
Menterinya, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata Super dan Kukenal akan terus menjadi mata dan telinga kerajaan untuk memaklumkan kepada agensi berwajib sekiranya ada aktiviti yang menyalahi undang-undang kerana laut juga adalah antara laluan utama yang digunakan penceroboh dan penyeludup.
“Sempena penganjuran program GNN (Gelombang Nelayan Nasional 2017) nanti, kita akan lancarkan beberapa lagi kumpulan sukarelawan ini agar dapat membantu kerajaan dalam hal ini.
“Selain menyalurkan maklumat, sukarelawan nelayan ini juga boleh membantu dalam kes-kes tertentu seperti menyelamatkan rakan nelayan yang lemas atau apa sahaja kecemasan yang lain,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengulas laporan media mengenai kenyataan Pengarah Kastam Kedah, Datuk Johari Alifiah yang meminta nelayan menjadi mata dan telinga Jabatan Kastam Diraja Malaysia kerana jalan laut juga adalah antara laluan utama yang digunakan dalam aktiviti penyeludupan di negara ini.
Ditanya mengenai pencerobohan nelayan asing pula, Ahmad Shabery berkata kerajaan memandang serius perkara itu kerana pencerobohan bermaksud membenarkan sumber yang ada di dalam negara dikaut oleh orang lain.
“Tetapi menanganinya ada cabaran tertentu…sebab itu kita sentiasa bekerjasama dengan agensi penguatkuasaan seperti Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) sepanjang GNN 2017 nanti.
“Kita akan membantu nelayan dari segi kaedah-kaedah komunikasi untuk mereka memaklumkannya kepada agensi berwajib sekiranya mereka melihat pencerobohan berlaku.
“Bagaimana nak menyampaikan maklumat dan bagaimana ketangkasan pihak yang berkenaan untuk respons kepada maklumat berkenaan. Saya percaya beberapa tindakan yang dibuat oleh APMM sebelum ini termasuk menenggelamkan kapal-kapal penceroboh merupakan satu signal atau isyarat yang kita serius dalam menangani pencerobohan ini,” katanya.
Terdahulu, Ahmad Shabery yang juga Anggota Parlimen Kemaman meninjau persiapan tapak program GNN 2017 di Kuala Kerteh yang bakal dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada Oktober ini. – BERNAMA