JOHOR BAHRU – Jabatan Imigresen negeri menahan 55 individu termasuk sembilan warga tempatan atas pelbagai kesalahan dalam operasi Ops Gegar di dua premis khidmat urut berasingan di Masai dan Permas Jaya, di sini, malam tadi.
Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali berkata, kesemua mereka berusia 25 hingga 37 tahun kini ditahan di Depot Imigresen Setia Tropika untuk tindakan selanjutnya.
Katanya, 40 wanita pelbagai warganegara ditahan mengikut Seksyen 51(5)(b) Akta Imigresen 1959/63 serta lima lelaki dan seorang wanita warga Indonesia mengikut Seksyen 6(1)(c) akta sama kerana tiada dokumen perjalanan yang sah.
“Sembilan warga tempatan yang disyaki penjaga premis terbabit pula ditahan mengikut Seksyen 56(1)(d) Akta Imigresen kerana melindungi warga asing,” kata beliau kepada pemberita awal pagi tadi.
Sementara itu, jabatan itu juga mengeluarkan Borang 29 sebagai saksi kepada sembilan pelanggan tempatan premis terbabit dan dibebaskan kerana memiliki kad pengenalan diri (MyKad).
Mustafar berkata, operasi itu adalah usaha berterusan jabatan itu bagi membanteras aktiviti haram seperti pelacuran oleh pendatang asing yang berselindung di sebalik pusat urut.
Menurutnya, kebanyakan pendatang asing ini melakukan pelbagai kesalahan seperti menyalahgunakan pas lawatan dan juga tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah.
“Selain itu, kami lihat premis yang digunakan berada di kawasan penempatan penduduk seperti di atas kondominium, tetapi di bawahnya terdapat pusat urut atau spa yang menawarkan aktiviti pelacuran,” kata beliau.
Justeru, pihaknya berharap agar pihak berkuasa tempatan (PBT) memantau serta dapat melihat perkara ini secara serius terutama apabila ia melibatkan kawasan penempatan sebagai premis. – BERNAMA
*Video di bawah sekadar hiasan…