KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menyertai majlis bacaan Yassin dan Tahlil bersempena Hari Pahlawan, sebelum menunaikan solat Jumaat bersama-sama jemaah di Masjid Wilayah Persekutuan, di sini.
Majlis yang bermula kira-kira 12.40 tengah hari itu turut disertai Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor, selain anggota ATM dan Polis Diraja Malaysia, serta jemaah masjid.
Asyraf Wajdi ketika membacakan khutbah Jumaat khas bersempena Hari Pahlawan, antara lain mengajak hadirin agar menanam semangat menghargai pahlawan negara kepada anak-anak sejak di usia muda lagi.
Katanya, kebelakangan ini, semangat mengingati jasa bakti pahlawan dalam kalangan masyarakat semakin luntur, walhal menghayati kisah perjuangan mereka boleh menjadi teladan dan sumber inspirasi.
“Mereka yang kita gelar sebagai pejuang bangsa, agama dan negara ini, sememangnya tidak pernah mengharapkan gelaran mahupun status kepahlawanan, tetapi cukuplah dihargai sebagai tanda penghormatan dan terima kasih,” katanya.
Dalam hal itu, khutbah bertajuk “Pahlawan negara inspirasi negara berdaulat’ itu menegaskan supaya ibu bapa, guru dan media antara lainnya berperanan menjadi pendorong kepada usaha mengenang jasa para pahlawan dan mencadangkan supaya maklumat mengenainya dalam pelbagai variasi genre dihasilkan sesuai peredaran zaman dan penerimaan masyarakat.
Asyraf Wajdi berkata, dalam masa sama, masyarakat secara keseluruhan turut bertanggungjawab menjaga kesucian agama dan kedaulatan negara daripada sebarang anasir keganasan, kezaliman mahupun penindasan.
“Perasaan cinta dan mempertahankan kedaulatan negara merupakan sikap yang perlu ada pada setiap individu.
“Perasaan dan sikap ini tidak menyalahi syariat Islam kerana perasaan cintakan negara merupakan manifestasi cinta kepada Allah,” katanya yang kemudiannya turut mengimamkan solat Jumaat. — BERNAMA
