PETALING – Syarikat induk pasaran dalam talian tempatan Malaysia, Lelong.my, Interbase Resources Sdn Bhd, mahu meningkatkan pendapatan kepada RM360 juta dalam tahun depan.
Ketua Pegawai Operasi/Pengasas Bersama, Wei Kwok Seing, berkata sekarang ini, Lelong.my memperoleh sebanyak RM30 juta pada setiap bulan atau lebih daripada RM360 juta setiap tahun.
“Kami bercadang untuk mewujudkan sebuah laman web yang lebih relevan, dengan persekitaran yang meriah dan mempunyai citarasa Malaysia dalam apa yang kami lakukan, kerana itu adalah identiti dan aspirasi kami,” katanya kepada pemberita pada Karnival Meriah Hari Malaysia di sini hari ini.
Karnival dua hari ini diadakan di pejabat korporat Lelong.my di Puchong.
Lelong.my akan mengumumkan identiti baharunya sebagai sebahagian daripada usaha untuk meningkatkan lagi jenama tersebut dalam beberapa bulan lagi, dengan imej yang baharu, dinamik dan lebih segar sambil mengekalkan identiti Malaysia.
Katanya, Lelong.my, mempunyai purata jualan sebanyak RM150 setiap pengguna dengan 8,000 penjual aktif.
“Kami akan mencecah usia 20 tahun tidak lama lagi dan berada di ambang dewasa, kami telah melalui banyak perjalanan pertumbuhan dan kami mahu membuat yang terbaik dalam usaha kami untuk menjadi komuniti e-dagang paling berteraskan pelanggan dan dipercayai di Asia Tenggara,” katanya.
Lelong.my telah memperkenalkan NetPos, satu sistem pembayaran lengkap yang membolehkan peniaga menerima pembayaran di luar persekitaran e-dagang dan ia menerima bayaran menggunakan Visa, MyDebit, SamsungPay, Visa PayWave dan MasterCard PayPass.
Lelong.my menawarkan sebanyak 1.6 juta produk dan perkhidmatan, merangkumi pelbagai kategori.
Pembeli dan penjual boleh berurusan dengan selamat melalui NetPay, sistem pembayaran yang dibangunkan secara dalaman dan diiktiraf oleh Bank Negara Malaysia. – BERNAMA