KOTA BHARU – Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) mengambil inisiatif membangunkan silibus teknologi hijau yang dijangka dilaksanakan sepenuhnya dalam Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) dalam usaha mewujudkan kesedaran penjagaan alam sekitar di kalangan pelajar.
Timbalan Ketua Setiausahanya, Datin Badriyah Abd Malek berkata usaha tersebut dilakukan dengan kerjasama Yayasan Hijau Malaysia dan Pusat Pendidikan Latihan dan Penyelidikan Tenaga Diperbaharui dan Kecekapan Tenaga (CETREE) Universiti Sains Malaysia (USM).
“Silibus ini masih dalam peringkat akhir penelitian. Ia akan dilaksanakan sepenuhnya kepada pelajar sekolah menengah di seluruh negara jika diluluskan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan tenaga pengajar akan dilatih khusus bagi pembelajaran dan pengajaran silibus tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Kem Smart Energy Education 2017 di Kompleks Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan di sini, hari ini.
Turut hadir Pengurus Besar Tenaga Nasional Berhad (TNB) Kelantan Datuk Md Yuslan Md Yusof dan Penasihat CETREE Prof Dr Haslan Abu Hassan.
Mengulas mengenai program berkenaan Badriyah berkata program Smart Energy Education dengan kerjasama CETREE, TNB dan KPM itu akan diperluas kesekolah-sekolah di seluruh negara secara berperingkat dari semasa ke semasa.
Beliau berkata program itu melibatkan 25 sekolah di Kelantan, Pulau Pinang dan Selangor bertujuan meningkatkan kesedaran terhadap amalan penggunaan elektrik yang cekap melalui pelbagai aktiviti interaktif termasuk eksplorasi tenaga, pameran bergerak teknologi hijau dan pembentangan hasil kerja pelajar.
“Program ini mampu membantu hasrat KPM dalan meningkatkan penggunaan Frog VLE (Virtual Learning Enviroment) melalui penglibatan pelajar dalam memuatnaik hasil kerja di laman web sekolah masing-masing berpandukan Panduan Kecekapan Tenaga di Sekolah dan aplikasi khas ‘My Efficient Life’,” katanya.
Menurutnya, aplikasi yang direka khas itu juga mampu melatih pelajar dalam pengiraan bil elektrik dan melihat jumlah gas karbon yang dihasilkan melalui penggunaan perkakasan elektrik sekali gus meningkatkan kesedaran tentang keperluan penggunaan perkakasan secara cekap.
Dalam program sama, Badriyah turut merasmikan pelancaran Buku Panduan Kecekapan Tenaga di Sekolah dan Aplikasi My Efficient Life. – BERNAMA