GUIYANG – Kerajaan China mengeluarkan setem peringatan khas sempena teleskop radio terbesar dunia yang terletak di wilayah Guizhou, lapor agensi berita China Xinhua.
Setiap set setem yang dikeluarkan Biro Pos Negeri itu mempunyai lima setem termasuk setem yang memaparkan Teleskop Apertur Sfera Lima Ratus Meter (FAST) dengan harga 1.2 yuan (US$0.18).
Empat setem lagi ialah sempena satelit eksperimen sains ‘Mozi’, kapal penyelidikan Tansuo-1, projek pengeluaran bijirin nasional di Laut Bohai dan superkomputer Sunway TaihuLight.
FAST adalah teleskop tunggal dengan diameter setengah kilometer dan ia dibina di Dawodang di daerah Pingtang yang mempunyai bentuk permukaan bumi berlekuk.
Kos pembinaannya membabitkan pelaburan bernilai 1.2 bilion yuan (kira-kira US$188 juta).
Teleskop itu mampu meninjau ruang angkasa lepas dan sangat sensitif terhadap sebarang gangguan elektromagnet.
Kawasan sekitarnya dibuka untuk kunjungan pelawat.
Namun, jumlah pelawat dihadkan di bawah 2,000 orang sehari dan peranti elektronik termasuk telefon bimbit serta kamera adalah dilarang.
Sejak mula beroperasi pada September tahun lepas, kawasan itu mampu menarik kehadiran 240,000 pelancong setakat ini. – BERNAMA

