KUALA LUMPUR – Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) mendakwa sebelum kebakaran menimpa Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, ada beberapa individu yang mencurigakan dilihat berlegar-legar di kawasan berkenaan.
Presiden PPIM, Datuk Nadzim Johan memberitahu, kelibat beberapa individu itu telah berjaya dirakamkan oleh sebahagian daripada kamera litar tertutup (CCTV) yang terdapat di luar bangunan PPIM pukul 3.10 pagi.
Secara kebetulan, kedudukan CCTV di sekitar pejabat PPIM yang terletak bersebelahan dengan pusat tahfiz itu dikatakan boleh merekodkan situasi sebenar yang berlaku ketika kejadian.
“CCTV ini menampakkan hampir semua sudut pusat tahfiz termasuk Taman Tasik Datuk Keramat yang terletak di belakang bangunan ini,” ujarnya dalam sidang media di sini hari ini.
Berdasarkan kepada rakaman CCTV itu, beliau memberitahu bahawa suspek dilihat menggunakan pintu pagar di bahagian kiri sebelum melalui kawasan perkarangan pejabat PPIM.
Kemudian jelas Nadzim, suspek didapati bergerak pula menuju ke bahagian kanan yang bersebelahan dengan pusat tahfiz berkenaan.
Tambahnya lagi, beliau tidak menolak dakwaan kemungkinan insiden ini berkaitan dengan isu pencerobohan termasuk juga unsur khianat dan dendam daripada pihak luar.
“Kita tidak menolak kemungkinan kejadian ini ada kaitan dengan pencerobohan ke pusat tahfiz berkenaan termasuk unsur khianat dan balas dendam,” katanya.
Nadzim turut tidak menolak dakwaan berkemungkinan individu berkenaan sebenarnya mungkin ingin menyasarkan kepada PPIM tetapi menyangka bangunan pusat itu sebagai sebahagian pejabat persatuan ittu.
“Kita tidak tahu motif sebenar pencerobohan lelaki terbabit namun tidak menafikan kemungkinan turut menyasarkan pejabat PPIM,” kata Nadzim.
Bagaimanapun, pihak PPIM memaklumkan rakaman tersebut telah diberikan kepada pihak berkuasa untuk siasatan dan juga tindakan lanjut dengan lebih lanjut.
“Kita sudah menyerahkan semua rakaman kepada pihak polis untuk siasatan dan tindakan lanjut malah mereka meneliti semua rakaman sejak pagi tadi,” ujarnya. – MYNEWSHUB.CC/AmyMaizura