TANJUNG MALIM – Kehadiran babi hutan yang merayau pada waktu malam dan awal pagi membuat penduduk kawasan perumahan Proton City mulai khuatir akan keselamatan masing-masing.
Kawasan riadah yang menjadi tumpuan penduduk menjalankan aktiviti rekreasi terutama Tasek Proton City berhampiran kawasan perumahan turut dicemari najis babi hingga menimbulkan bau kurang menyenangkan.
Penduduk, Mohd Zamree Zainol, 40, berkata, haiwan itu dari hutan berdekatan kawasan perumahan itu juga sering merosakkan tanaman penduduk.
Katanya, haiwan itu turut merosakkan struktur tanah sehingga berlubang.
“Kumpulan babi ini kerap dijumpai penduduk pada waktu malam terutama musim hujan, ia merayau di kawasan perumahan terutama di jalan raya tanpa menghiraukan kenderaan lalu lalang.
“Ancaman babi membimbangkan penduduk di sini. Kami merasa kurang selamat bila keluar malam sebab takut diserang babi yang saiz badannya sebesar lembu,” katanya.
Mohd Zamree berkata, penduduk tidak berani bertindak sendiri untuk menghapuskan haiwan liar itu kerana sifat semula jadi babi yang akan mengamuk bila tercedera.
“Saya harap pihak berkenaan membantu penduduk agar bebas ancaman babi yang bukan sahaja mengancam keselamatan tetapi mencemarkan alam persekitaran,” katanya. – Sinar Online
