BAGI penggemar muzik indie tempatan, pastinya nama Noh Salleh tidak asing lagi bagi mereka. Lagunya bagaikan ‘dadah’ bagi peminat tegar kumpulan Hujan.
Kejayaannya dalam menghasilkan karya yang bermutu sepanjang bersama dengan kumpulan itu memberi impak yang besar dalam industri muzik indie tempatan.
Kini bergerak secara solo buat sementara waktu, Noh giat ‘meneroka’ beberapa lokasi di seluruh negara bagi mempromosikan album terbarunya yang berjudul Angin Kencang.
Siri jelajah ‘Road Tour Noh Salleh’ ke empat buah negeri itu sudahpun selesai dengan persembahan penutup tirai di Gerbang Malam, Ipoh pada 14 September yang lalu.
Mungkin ramai yang tertanya, mengapa penyanyi sepopular Noh memilih lokasi-lokasi yang kecil untuk mempromosikan albumnya.
Namun bagi Noh, dia ada alasannya tersendiri.
Sebab utama dia memilih lokasi terbuka seperti Pasar Karat (Johor), sekitar Menara Taming Sari (Melaka), Khedai Khopi Shocka (Pulau Pinang) dan Gerbang Malam (Ipoh) adalah supaya dia lebih dekat dengan peminatnya.
Selain itu, Noh turut mengadakan sesi meet and greet secara dekat dengan peminatnya yang telah membeli album berjudul Angin Kencang itu.
Rugi lah siapa yang tak join Road Tour 2017 Noh Salleh tu! Lepasni tak tahu bila lagi Noh akan adakan lagi acara seperti ini.
Kempat-empat lokasi ini telah berjaya mencuri tumpuan semua peminatnya yang rata-rata merupakan penggemar muzik genre Indie tempatan.
Malah, album Angin Kencang juga telah berjaya dijual sebanyak 450 keping cakera padat sepanjang jelajah itu diadakan. Hebat betul penangan Noh ni!
Walaupun album ini merupakan karya solonya, namun para peminat masih lagi ‘tegar’ menyokong Noh sejak kariernya bermula daripada kumpulan Hujan sehingga buah tangan solonya ini.
Album itu telah dimuatkan sebanyak tiga buah lagu baharu yang bertajuk ‘Sarawak’, ‘Mr.Polia’ dan ‘Renjatan’. Manakala enam buah lagu lagi merupakan repackaged lagu lamanya.
Noh yang juga merupakan suami kepada Mizz Nina, lebih mengutamakan album terbarunya ini ke arah irama pop retro kerana ia merupakan satu sisi muzik Noh yang hanya dapat direalisasikan olehnya secara solo memandangkan hanya dia sahaja yang tahu kepuasan yang dimahukannya.
Bukan hanya di Malaysia, namun Noh turut diminati di negara seberang, Indonesia. Album ini juga turut terjual di negara itu kerana ramai peminat Indie disana yang turut mengagumi hasil karyanya.
Tambahan pula, ‘Road Tour 2017′ ini turut disokong oleh RedBull Malaysia yang telah menyediakan kemudahan kenderaan pacuan 4 roda dilengkapi sound system yang canggih.
Sama-sama kita menyokong industri muzik tempatan kita agar orang luar juga turut mengagumi hasil karya rakyat Malaysia sendiri. – MYNEWSHUB.CC/Ainaa Hafizah