JOHOR BAHRU – Seorang anak dan ibunya maut apabila kereta Proton Wira mereka bertembung dengan sebuah lori di Km 165 Jalan Johor Bahru-Seremban dekat Labis tengah hari tadi.
Mereka dikenali sebagai Hamzah Selamat, 40, dan ibunya Mokminah Kasdini, 80, yang maut di tempat kejadian kira-kira 12.03 tengah hari.
Ketua Polis Daerah Segamat, Supt Raub Selamat berkata isteri Hamzah yang berumur 39 tahun dan anak perempuan mereka yang berumur empat tahun pula cedera parah.
“Siasatan awal mendapati lori tanpa muatan berkenaan yang dipandu dari arah Labis menuju Segamat dipercayai masuk ke laluan bertentangan lalu bertembung dengan Proton Wira terbabit,” katanya ketika dihubungi.
Pemandu lori itu turut cedera dan sedang menerima rawatan di Hospital Segamat. – BERNAMA

