KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V berkenan menghadiri solat hajat, majlis bacaan Yasin dan doa selamat sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi baginda di Masjid Wilayah di sini malam ini.
Keberangkatan tiba Seri Paduka yang segak berbaju Melayu cekak musang berwarna hijau pada pukul 7.30 malam itu disambut Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.
Majlis dimulakan dengan solat Maghrib berjemaah, diikuti solat hajat serta bacaan Yasin dan tahlil yang dipimpin Imam Besar Masjid Negara Tan Sri Syeikh Ismail Muhammad.
Kerajaan dalam satu kenyataan sebelum ini mengumumkan bahawa Sambutan Ulang Tahun Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V bagi tahun ini dipinda daripada 29 Julai kepada 9 Sept.
Sultan Muhammad V ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15 pada 24 April lalu selepas dipilih menggantikan Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah yang tamat tempoh pemerintahan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-14 pada 12 Dis tahun lepas. – BERNAMA