ALOR SETAR – Seramai 1,500 peserta terdiri daripada agensi awam dan pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini akan melafaz dan menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR) dalam Majlis IBR Perdana pada Program Sehati Sejiwa Memerangi Rasuah di Sungai Petani Selasa depan.
Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kedah Datuk Mohd Fauzi Mohamad berkata pelaksanaan ikrar itu diadakan bersempena sambutan Jubli Emas Ulang tahun Ke-50 SPRM dan Kembara Jelajah Anti Rasuah 2017 (KEJAR’17) peringkat negeri.
“Selain itu, turut diadakan adalah Program ‘Integrity Fun Ride’ yang menyasarkan lebih 500 peserta. Pada masa yang sama pelbagai aktiviti kemasyarakatan turut diadakan di Pejabat SPRM Cawangan Sungai Petani.
“Antaranya adalah pertandingan melukis mural bertemakan ‘Sehati Sejiwa Memerangi Rasuah’ yang akan disertai oleh pelajar dan anggota Sekretariat Pencegahan Rasuah dari pelbagai IPT (institut pengajian tinggi),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, Mohd Fauzi berkata penganjuran Program Sehati Sejiwa Memerangai Rasuah bertujuan mendekati rakyat di semua peringkat secara langsung selain mewujudkan jalinan kerjasama antara suruhanjaya itu dengan kerajaan negeri Kedah serta pelbagai jabatan dan agensi kerajaan. – BERNAMA