SEREMBAN – Seorang remaja lelaki yang menunggang motosikal maut selepas terlibat dalam kemalangan langgar lari di KM 1 Jalan Bahau-Juasseh, Jempol dekat sini kira-kira 5 pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Jempol Supt Noorzainy Mohd Noor berkata mangsa yang maut di tempat kejadian dikenali sebagai Muhammad Hijas Ridzwan Khamis, 17, menunggang motosikal jenis Yamaha RXZ berwarna hijau.
“Kejadian berlaku di pertengahan simpang empat berhampiran Taman Songnam. Terdapat kesan calar motosikal jatuh dan brek kenderaan serta kesan darah di tempat kejadian,” katanya kepada Bernama di sini, hari ini.
Noorzainy berkata mangsa merupakan seorang penganggur dan akibat kemalangan itu, motosikal tersebut remuk pada bahagian hadapan, rim dan tayar hadapan juga pecah serta kerosakan lain.
“Mangsa berasal dari Felda Palong 9 dan semakan rakaman kamera litar tertutup di premis berhampiran akan dibuat bagi mengesan kenderaan lain yang terlibat,” katanya.
Polis memohon kerjasama orang ramai untuk menyalurkan maklumat sekiranya berada di lokasi ketika kejadian.-BERNAMA
Video di bawah sekadar hiasan…

