KAHERAH – Hartawan Arab Saudi, Putera Alwaleed Talal bakal melabur lebih AS$800 juta (RM3.4 bilion) di sebuah hotel di Mesir, kata kementerian pelaburan, hari ini.
Pengumuman itu dibuat selepas parlimen menguatkuasakan undang-undang baharu untuk menarik pelabur luar ketika pihak berkuasa sedang berusaha menghidupkan semula ekonomi negara Afrika Utara itu.
Kementerian dalam satu kenyataan berkata, Alwaleed memberitahu Menteri Pelaburan Mesir Shar Nasr di resort Red Sea Sharm el-Sheikh bahawa beliau bakal melabur di beberapa lokasi hotel.
Kementerian itu berkata, pelaburan Arab Saudi termasuk memperluaskan pusat peranginan Four Seasons di Sharm el-Sheikh menjadikan ia resort terbesar di dunia di kawasan selatan semenanjung Sinai.
Ia mendapat kerjasama Talaat Moustafa Holding Group, menurut Menteri Pelaburan Mesir, Sahar Nasr pada Isnin. Alwaleed memiliki kira-kira 40 hotel dan pusat peranginan di Mesir, selain 18 yang sedang dibina.
Dua buah hotel baharu turut dibina di El-Alamein, sebuah bandar peranginan di Laut Mediterranean dan di Madinaty timur Kaherah.
Pada Jun, Mesir meluluskan undang-undang pelaburan yang lama tertangguh, bertujuan untuk memudahkan urus niaga dan memikat semula pelabur selepas bertahun-tahun dibelenggu pergolakan politik yang bermula pada 2011.
Ia turut menaikkan nilai mata wangnya pada November dan melaksanakan penyusunan semula ekonomi di bawah program tiga tahun Tabung Kewangan Antarabangsa yang bernilai AS$12 bilion.
Ini bagi memulihkan aliran modal selepas pergolakan politik menjejas teruk sektor pelaburan dan pelancongan negara itu. – AFP/BH ONLINE

