SEREMBAN – Polis hari ini membawa dua suspek dipercayai terlibat dalam kes melarikan pelajar sekolah di Port Dickson, ke rumah seorang daripada mereka di fasa dua Bandar Springhill, Port Dickson, dekat sini.
Kedua-dua mereka dibawa ke lokasi berkenaan sebagai satu proses siasatan dan mangsa kes berkenaan turut berada di lokasi bagi membantu siasatan.
Berdasarkan tinjauan Bernama di rumah tersebut mendapati, suspek yang berumur 17 dan 21 tahun yang kini direman itu, dibawa menaiki kenderaan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan tiba di lokasi kira-kira 3.30 petang.
Polis kemudiannya dilihat beredar dari rumah itu kira-kira dua jam kemudian.
Dalam kejadian Isnin lepas itu, kanak-kanak berusia 9 tahun itu dilarikan dari rumahnya kira-kira pukul 6 pagi dan ditemui selamat 15 jam kemudian selepas dipercayai ditinggalkan suspek berhampiran kawasan kediamannya dalam keadaan kaki dan tangan diikat. -BERNAMA

