KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini melakukan lawatan mengejut di Stadium Nasional Bukit Jalil di sini, dan berpuas hati dengan keadaan prasarana sukan yang terdapat di situ.
Perdana Menteri berkata, tinjauan secara spontan tersebut bertujuan untuk melihat sendiri pelbagai persiapan akhir negara yang bakal menjadi tuan rumah temasya serantau, Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, yang kurang 17 hari lagi.
“Singgah Stadium Nasional Bukit Jalil tadi, tinjau persiapan untuk jadi tuan rumah #SukanSea2017 nanti. Stadium, padang memang tip top!” kata beliau sambil menunjukkan simbol tanda bagus menerusi akaun Twitter miliknya.
Najib turut memuat naik tiga keping gambar beliau berada di sekitar kawasan arena itu yang merupakan antara stadium terbesar di dunia dengan kapasiti tempat duduk optimum kira-kira 100,000 penonton dalam satu masa.

Kicauan melalui Twitter beliau itu mendapat sambutan hangat netizen dari seluruh dunia apabila menerima hampir 900 tanda suka selain diulang kicau lebih 500 kali dan kira-kira 129 komen setakat 12 tengah malam Khamis.
Stadium dibuka sejak 1998 sempena Sukan Komanwel ketika itu akan menjadi venue upacara pembukaan rasmi sukan dwitahunan Asia tenggara edisi ke-29 pada 19 Ogos ini. Malaysia kini enam kali menjadi hos Sukan SEA.
Beliau turut memuat naik pengalaman di stadium berkenaan dalam akaun Facebook rasminya lewat malam Rabu dengan kapsyen yang berbunyi “We are ready! #SEAGames2017 #KL2017 #BangkitBersama#Negaraku.”
Catatan eksklusif tersebut menerima reaksi positif netizen apabila mendapat lebih 2,500 tanda suka selain sejumlah 86 perkongsian dan kira-kira 155 komen tidak sampai sejam disiarkan. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA

