KUALA LUMPUR, – Orang ramai yang berhasrat menggunakan perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT), Transit Aliran Massa (MRT) dan monorel Rapid KL untuk ke venue temasya Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) khususnya di Stadium Nasional Bukit Jalil dinasihat menggunakan mod tanpa tunai.
Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Rail, Datuk Zohari Sulaiman dalam kenyataan hari ini berkata mereka boleh menggunakan kad MyRapid Touch ‘n Go (TnG) atau mana-mana kad TnG yang mempunyai nilai yang mencukupi untuk memastikan perjalanan lancar.
Menurut Zohari, penggunaan perkhidmatan LRT, MRT dan monorel juga adalah menjimatkan susulan diskaun 50 peratus yang ditawarkan kepada semua pengguna sehingga akhir bulan ini.
“Sekiranya perlu memberi token, mereka disaran membeli token berasingan untuk pergi dan balik supaya tidak perlu beratur di mesin pembelian tiket ketika mahu pulang,” kata beliau.
Menurut Zohari, seramai 45,368 penumpang menggunakan kad TnG dan token melalui pintu automatik LRT untuk ke Stadium LRT Bukit Jalil semalam untuk menyaksikan upacara pembukaan rasmi temasya KL2017 yang dirasmikan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V.
Beliau berkata jumlah itu tidak termasuk 7,198 sukarelawan dan petugas yang dibenarkan menggunakan perkhidmatan LRT dengan percuma.
RapidKL yang menyediakan perkhidmatan rel LRT, MRT dan monorel serta bas ganti-ganti adalah penyedia pengangkutan rasmi KL2017. – BERNAMA