KUANTAN – Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang hari ini sebulat suara meluluskan Enakmen Lambang, Gelaran atau Anugerah (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 2017 bagi mencegah penyalahgunaan kurniaan Sultan Pahang.
Terdahulu, Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob semasa membentangkan rang undang-undang itu berkata enakmen tersebut perlu diwujudkan bagi memastikan kurniaan Sultan Pahang tidak sewenang-wenangnya digunakan pihak tidak bertanggungjawab.
Katanya, perbuatan pihak berkenaan mendatangkan pencemaran dan nama buruk kepada kurniaan itu sedangkan kedaulatan dan kemuliaan institusi diraja Pahang mesti dipelihara.
“Enakmen ini untuk elak salah guna terutamanya lambang pada kereta. Kebanyakan kereta pada masa ini meletakkan pelbagai lambang… kalau lambang persatuan belia atau sebagainya tidak mengapa, tetapi ini lambang yang berkaitan dengan kedaulatan dan kemuliaan intitusi beraja.
“Ini yang menyebabkan kita mahu mengambil tindakan kerana kita dapat melihat bagaimana kadang-kadang dilekatkan pada kereta itu lambang tertentu dengan warna kuning dan sebagainya sedangkan ia langsung tidak berkaitan dengan institusi diraja,” katanya.
Adnan menambah, tindakan menggunakan lambang pada kereta itu dilakukan dengan harapan mahu melepaskan diri daripada tindakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) atau Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
Sementara itu, Andansura Rabu (PAS-Beserah) yang menyatakan persetujuan dengan enakmen itu, bagaimanapun meminta penjelasan adakah enakmen tersebut terpakai kepada penggunaan lambang dan kepala surat istana dalam surat-surat rasmi.
“Banyak juga penyalahgunaan kepala surat yang dapat kita lihat. Ada penyalahgunaan pada surat untuk projek atau mesyuarat yang menimbulkan perasaan sangsi masyarakat tetapi mereka takut untuk tegur kerana ada lambang (kepala surat) istana,” katanya.
Adnan menjelaskan berdasarkan pengalaman, tindakan menggunakan lambang atau kepala surat pada surat rasmi istana bagi tujuan mengutip derma perlu mendapat kelulusan pejabat menteri besar.
“Memang ada prosedurnya. Tulis surat kepada MB (menteri besar) dahulu dan sudah lulus baru boleh digunakan. Jangan salah guna,” katanya.
Persidangan Dewan ditangguhkan ke satu tarikh yang akan ditentukan kelak. – BERNAMA

