UMAT Islam cukup sinonim dengan amalan bersedekah pada setiap hari Jumaat. Oleh itu, ramai yang ingin berebut peluang ini termasuk pihak-pihak masjid dan surau.
Ahli jawatankuasa (AJK) Masjid Maasumiah, Sabak Bernam turut tidak ketinggalan melepaskan peluang itu. Justeru, mereka sebulat suara menganjurkan program bersedekah pada setiap Jumaat dengan memberikan nasi lemak kepada yang memerlukan.
Khabarnya, program ini baru sahaja bermula pada Jumaat yang lalu. Puluhan bungkusan nasi lemak telah diletakkan di hadapan Masjid Maasumiah bermula 7.30 pagi untuk penduduk Kampung Sungai Tengar Utara, Sungai Air Tawar.

Menurut Mohd. Hafizuddin Md. Sahar, salah seorang AJK masjid tersebut, program ini diadakan bagi bantu penduduk yang tidak berkemampuan dan penduduk setempat yang tidak sempat bersarapan sebelum ke tempat kerja.
“Melalui program seumpama ini, ia mengukuhkan lagi silaturahim antara AJK masjid dengan penduduk setempat, sekali gus menggalakkan tuntutan solat berjemaah.
“Masjid ini dipilih sebagai lokasi mengagihkan nasi lemak kerana ia berada di laluan utama penduduk sekitar,” katanya dipetik laporan oleh sebuah portal online.
Betul jugak tu, sekurang-kurangnya makin bertambahlah jemaah masjid pada waktu Subuh nanti kan…
Menurut pemuda 32 tahun ini, pihaknya berbesar hati jika ada pihak yang sama-sama ingin memberikan sumbangan ikhlas dan sama-sama membantu penduduk sekitar yang memerlukan.
Diharapkan program seperti ini dapat dijalankan di tempat lain lagi. Semoga kita sama-sama dapat berkongsi rezeki dengan mereka yang lebih memerlukan. – MYNEWSHUB.CC/Aisyah Karim