ENTAHLAH apa masalah sesetengah netizen ni. Suami isteri kongsi gambar mesra di media sosial pun dianggap cuba ‘tutup’ masalah rumahtangga!
Itulah yang terpaksa dihadapi Siti Sarah Raisuddin apabila perkongsian gambar mesra dengan suaminya, Shuib Sepahtu di media sosial menjadi bualan, sekali gus mengundang pelbagai reaksi netizen.
Jelas pelantun lagu Sandarkan Pada Kenangan itu, kemesraan yang dipamer bukanlah bertujuan untuk menutup sebarang masalah sebaliknya sekadar berkongsi rutin harian bersama keluarga untuk lebih dekat dengan peminat.
“Secara jujur, saya tidak sangka video yang dimuat naik di sosial media mendapat perhatian ramai kerana sebelum ini kami sering berkongsi gambar berdua. Kalau diikutkan, mereka yang mengenali kami sudah maklum dengan karakter kami itu.
“Bagi saya, ia tiada kena mengena dengan masalah rumah tangga. Kalau ada pun kami ada cara untuk mengatasi setiap permasalahan. Kebahagiaan bukan boleh direka-reka.
“Saya dan Shuib berpegang pada prinsip untuk tidak membawa sebarang masalah di sosial media kerana ia tidak seharusnya dikongsikan.
“Sebenarnya artis dan orang biasa tidak jauh berbeza dan itu yang saya tekankan di media sosial,” katanya kepada BH Online.
Baru-baru ini, video dan gambar pasangan selebriti ini di sosial media mendapat perhatian apabila dikatakan terlalu mempamerkan kemesraan mereka.
Pasangan ini berkahwin pada 26 Februari 2011 dan dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Uwais Alqarni, 6, Dzahira Talita Zahra, 3, dan Ariq Matin yang berusia setahun. – MYNEWSHUB.CC