KOTA KINABALU – Lembaga Pelancongan Sabah (STB) bakal mengadakan Jerayawara Pelancongan Luar Bandar bagi mempromosikan tarikan pelancongan luar bandar di negeri ini selama tiga hari mulai Jumaat ini, kata Pengerusi STB Datuk Joniston Bangkuai.
Katanya, jerayawara itu, yang juga julung kali dianjurkan, bertujuan menarik pelancong luar dan dalam negara untuk melancong di luar bandar Sabah, sekali gus menjana pendapatan penduduk di kawasan berkenaan.
“Terdapat empat daerah yang mengambil bahagian dalam jerayawara ini iaitu Ranau, Tambunan, Kadamaian dan Kiulu.
Sejak tahun lalu, usaha agresif telah dijalankan untuk membangunkan pelancongan di luar bandar memandangkan industri ini merupakan antara pemacu utama ekonomi negeri selain pertanian dan pembuatan,” katanya pada sidang akhbar mengenai perkara itu di sini hari ini.
Selain mempromosikan tempat menarik di luar bandar, Joniston berkata jerayawara itu turut mempromosikan produk pelancongan luar bandar seperti penginapan desa, berkhemah dan aktiviti eko pelancongan seperti berakit di sungai.
Beliau juga berkata industri pelancongan di luar bandar itu mampu meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan menjaga alam sekitar dan mempertingkatkan lagi kerjasama antara komuniti kampung dalam menjalankan industri itu. – BERNAMA