KUALA LUMPUR – Kerajaan bertekad untuk mentransformasikan imej kediaman kos rendah Program Perumahan Rakyat (PPR) dan memberi nafas baharu kepada projek-projek sedemikian bagi meningkatkan kesejahteraan dan kualiti hidup penghuninya.
Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Tan Sri Noh Omar berkata kementerian itu kini dalam usaha mengubah persepsi masyarakat terhadap PPR melalui penyediaan ciri-ciri dan kemudahan yang lebih baik .
“Kita tak nak bila kita tengok rumah PPR ini, (persepsi kita) oh, ini rumah kawasan sesak. Kita nak ubah (persepsi sedemikian).
“Kita nak buat satu transformasi,” katanya kepada Bernama selepas sesi Waktu Pertanyaan Menteri di persidangan Dewan Rakyat di sini, hari ini.
Beliau berkata usaha ini juga merupakan aspirasi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk melihat rakyat miskin menikmati kualiti hidup yang lebih baik.
“Ini merupakan keprihatinan Perdana Menteri yang diterjemahkan. Beliau selalu berbincang dengan saya bagaimana cara kita nak tolong orang susah, supaya mereka turut dapat menikmati kualiti hidup yang lebih baik,” katanya.
Berikutan itu katanya, bermula tahun 2016, semua projek PPR yang baharu dibina akan menpunyai ciri-ciri penambahbaikan yang lebih holistik.
Salah satu ciri penting yang diterapkan dalam pembinaan PPR baharu ialah ciri keselamatan seismik untuk mengurangkan kebarangkalian impak gegaran pada struktur bangunan sekiranya berlaku gegaran atau gempa bumi.
Katanya, hampir 15 buah PPR baharu yang mula dibina di seluruh negara tahun ini telah dilengkapi ciri keselamatan siesmik.
Terdahulu semasa menjawab soalan Datuk Noraini Ahmad (BN-Parit Sulong) berkenaan penambahbaikan kepada PPR dalam memberi kesejahteraan hidup kepada masyarakat di bandar, Noh berkata untuk PPR yang baharu, kerajaan bercadang mengehadkan pembinaan tidak melebihi 500 unit rumah pada setiap projek PPR yang dirancang. – BERNAMA

