KUALA LUMPUR – Masanya sudah tiba bagi pemegang taruh dalam kesatuan sekerja mencari jalan untuk menguruskan dengan positif implikasi ekonomi, sosial dan buruh dalam Revolusi Perindustrian Keempat, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak.
Oleh kerana revolusi dipacu oleh kemajuan teknologi dan maklumat, beliau berkata sektor itu tidak mempunyai pilihan melainkan menerima pakai dan menyesuaikan diri dengan perubahan, menggunakan ICT secara strategik dan tepat bagi mempertingkatkan ekonomi.
“Secara nyata, revolusi ICT berterusan pada kadar yang amat pantas hinggakan sesiapa atau mana-mana ekonomi akan menanggung risiko jika ia diketepikan atau diterima pakai dengan tidak bersungguh-sungguh.
“Memandangkan dunia kini merupakan tempat yang saling berhubungan, begitu jugalah dengan perdagangan; dipacu secara digital dan fizikal. Sesebuah masyarakat yang tidak menerima atau menyesuaikan diri dengan perubahan ini akan kehilangan keupayaan bersaing yang mengakibatkan ekonominya dicabar pihak lain,” katanya ketika merasmikan Persidangan Pos dan Logistik dan Komunikasi Maklumat UNI APRO kelima, di sini hari ini.
Beliau berkata perkembangan ini turut membawa kepada perubahan dalam tingkah laku dan gaya hidup, misalnya mempertingkatkan risiko penyakit tidak berjangkit (NCD) dalam populasi selain mendedahkan diri kepada kadar morbiditi penyakit berkaitan sistem kardiovaskular.
“Kita boleh anggapkan diri kita sebagai bertuah, atau bagi sesetengah kita, kurang bernasib baik, kerana kita hidup dalam era di mana teknologi memberi kesan terhadap cara kita hidup, bekerja dan bermain dalam ruang masa yang begitu singkat,” katanya.
Salleh menarik perhatian bahawa dengan kemajuan teknologi, pengurusan sesebuah masyarakat menjadi semakin mencabar dan berikutan peningkatan jangkaan yang terhasil daripada pendedahan meluas kepada maklumat, kerajaan juga perlu melakukan perubahan untuk menyesuaikan dengan kadar permintaan dan jumlah jangkaan sambil menerima bahawa sebarang pendekatan perlu berada dalam mod rekursi.
Beliau berkata dalam mengambil maklum perkara ini, kerajaan Malaysia akan terus mempermudahkan perkongsian dan pelaburan, menyokong aktiviti, dan mewujudkan ekosistem yang betul kerana guna pakai teknologi yang positif yang akan membawa kepada kestabilan sosial dan ekonomi.
Mengenai persidangan itu, Salleh yakin ia akan menjadi wadah bagi kalangan intelek, pengamal, penggubal dasar, penjawat awam dan penggubal untuk melancarkan perkongsian maklumat untuk memaksimumkan perolehan serta meminimumkan kepayahan apabila memberi respons dan menyesuaikan diri dengan teknologi.
“Dengan pengalaman dan pengetahuan bersama yang dihimpunkan dalam persidangan ini, kita sudah tentu akan dapat berbincang dengan berkesan dan berkongsi pengalaman tentang cara terbaik untuk kita usahakan pelaksanaan idea baharu dalam ekosistem kita sendiri,” katanya.
Kira-kira 250 peserta daripada sektor ICT, pos dan logistik dari 10 negara menghadiri persidangan tiga hari itu. – BERNAMA