LONDON – Britain bersedia membayar sehingga 40 bilion euro (RM201 bilion) sebagai sebahagian kesepakatan untuk keluar dari Kesatuan Eropah (EU), lapor akhbar Telegraph Sunday.
Akhbar itu memetik tiga sumber yang dekat dengan strategi rundingan Britain melaporkan EU melancarkan 60 bilion euro (RM302 bilion) dan mahu perubahan ketara penyelesaian liabiliti Britain sebelum perbincangan dapat dimulakan terutama membabit isu-isu rumit seperti rundingan perdagangan masa depan.
Jabatan kerajaan yang bertanggungjawab untuk perbincangan Brexit enggan mengulas berhubung laporan Sunday Telegraph.
Setakat ini, Britain tidak memberikan sebarang petunjuk rasmi berhubung jumlah yang dipersetujui untuk dibayar.
Menurut akhbar itu, pegawai Britain mungkin menawarkan bayaran 10 bilion euro setahun untuk tempoh tiga tahun selepas negara itu meninggalkan EU pada Mac 2019, kemudian memuktamadkan jumlahnya dan disusuli rundingan perdagangan terperinci.
Laporan itu mendedahkan, pembayaran hanya akan dibuat sebagai sebahagian daripada perjanjian yang termasuk perjanjian perdagangan.
“Kami sedar EU meletakkan 60 bilion euro (RM302 bilion) tetapi paras bawah sebenarnya adalah 50 bilion euro (RM252 bilion). Angka kami dekat dengan 30 bilion euro (RM151 bilion) tetapi angka sebenar berada pada 40 bilion (RM201 bilion), walaupun masih belum diketahui ramai orang awam dan ahli politik,” kata sumber seorang pegawai kanan Whitehall.
Whitehall yang terletak di dalam wilayah London menempatkan kakitangan kerajaan dan menteri. – Reuters/BH ONLINE

