BUKIT MERTAJAM – Polis menahan empat lelaki dan merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM20,687 serta wang tunai berjumlah RM38,142 dalam dua pemeriksaan di Kubang Semang dan Perai, di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah ACP Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid berkata dalam kes pertama di sebuah rumah di Kubang Semang pada 1.30 tengah hari, polis menahan tiga lelaki berusia 25 hingga 43 tahun dan merampas heroin sebanyak 20.8 gram; syabu (20.95 gram) dan 16 biji pil WY bernilai RM3,082.
“Siasatan mendapati tiga lelaki itu menjadikan rumah berkenaan sebagai tempat menghisap dadah serta membungkus pelbagai jenis dadah. Polis turut menemui penimbang digital, ‘sealer’ dan botol yang diubah suai untuk menghisap dadah. Polis turut menyita wang tunai dipercayai hasil jualan dadah sebanyak RM37,760,” katanya di sini hari ini.
Beliau berkata tiga lelaki yang masing-masing bekerja sendiri, pesawah dan mekanik itu turut positif dadah dan mereka dipercayai aktif dalam pengedaran dadah sejak tiga bulan lepas.
Sementara itu dalam kes berasingan, Nik Ros Azhan berkata polis menahan seorang lelaki berusia 28 tahun selepas mengekori kereta dipandunya di Jalan Baru, Perai dan pemeriksaan menemukan 175 biji pil ecstacy serta ketamin (110 gram) bernilai RM17, 605.00.
Beliau berkata polis turut merampas wang tunai berjumlah RM382, sebuah kereta dan dua telefon bimbit daripada lelaki yang dipercayai terlibat dalam pengedaran dadah sejak awal tahun ini. – BERNAMA

