KUALA LUMPUR – Tidak logik dengan sokongan Tun Dr. Mahathir Mohamad sahaja, maka pakatan pembangkang dapat menumbangkan Putrajaya dikuasai Barisan Nasional.
Ahli Jawatankuasa Parti Sosialis Malaysia (PSM), Khairul Nizam Abdul Ghani malah berkata, kehadiran Mahathir turut menyebabkan perpecahan lebih teruk pakatan pembangkang.
“Ketika prestasi pembangkang paling unggul pilihan raya umum (PRU) lepas. Mereka bersatu tanpa Mahathir.
“Sekarang teras unggul pembangkang berpecah. Import pula Mahathir yang menyebabkan teras lebih berpecah,” katanya menerusi Facebook baru-baru ini.
Teras unggul yang beliau maksudkan dipercayai merujuk kerjasama antara penyokong DAP, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan PAS ketika PRU-13.
PAS namun menarik diri daripada kerjasama DAP dua tahun lalu selepas menyedari agenda sonsang parti sekular itu keatas negara ini.
Parti itu kemudian memutuskan pula kerjasama dengan PKR yang dianggap menikam Islam daripada belakang dan banyak melanggar syarat tahaluf siyasi.
Justeru, Khairul Nizam berkata, kerjasama pakatan pembangkang dengan Mahathir ketika ini lebih kepada mempertahankan kerusi masing-masing sahaja.
“Paling jauh pun menukar atau mempertahankan negeri. Terutama Selangor, Kedah dan Kelantan,” katanya.
Beliau dalam pada itu mempersoalkan mengapa penyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Mohamad Sabu sangat bencikan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
“Apa yang Hadi dan geng buat sampai korang benci dia, semua tukar parti? Ada Hadi buat korang macam Mahathir buat kat Mat Sabu dan Anwar?” katanya.
Mahathir merupakan individu yang bertanggungjawab memecat Anwar daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri dan memenjarakan beliau serta Mat Sabu.
Bagaimanapun, gara-gara terdesak untuk meraih kuasa, Anwar dan Mat Sabu sanggup menerima kerjasama Mahathir dengan harapan Mahathir dapat menarik undi Melayu untuk pakatan pembangkang yang diketuai DAP.
“Negara ini bukan kerana Mat Sabu kena ISA atau Anwar kena liwat,” katanya lagi. – MYNEWSHUB.CC

