ISTANBUL – Lapangan Terbang Ataturk panik seketika apabila pengecas mudah alih atau powerbank yang dilempar seorang penumpang secara tiba-tiba terbakar.
Pengendali lapangan terbang itu berkata, penumpang tersebut bertindak agresif kerana marah tidak dibenarkan membawa masuk peranti elektronik tersebut ke dalam pesawat dalam penerbangan ke United Kingdom.
“Seorang penumpang enggan menyerahkan powerbank apabila menaiki pesawat ke United Kingdom.
“Dalam pertengkaran itu, dia menghempaskan powerbank sehingga menyebabkan ia terbakar.
“Namun tiada mangsa cedera dalam insiden itu,” kata pihak berkuasa Lapangan Terbang TAV dalam satu kenyataan menerusi akaun Twitter rasmi mereka.
Akaun Twitter itu turut menyiarkan siri kicauan reaksi penumpang yang berkata terlihat ‘letupan kecil dan kebakaran’ dalam kawasan menaiki pesawat ke Britain dan Amerika Syarikat.
Penumpang berkenaan, yang mendakwa berada 10 meter dari lokasi kejadian, berkongsi imej asap di depan pintu balai pelepasan.
Susulan insiden itu, lelaki warga Britian itu ditahan pihak berkuasa Turki untuk proses siasatan lanjut. – mStar Online
*Video sekadar hiasan…