PUTRAJAYA – Pertandingan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu (PABM) bukan sahaja mampu menarik minat masyarakat luar terhadap bahasa Melayu malah merupakan jalan bagi memberi imej antarabangsa kepada Bahasa Melayu.
Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor berkata tradisi serta budaya Melayu dapat diketengahkan melalui PABM.
“PABM akan menjadi wahana yang penting dalam mengasah kebolehan serta kemahiran penutur Bahasa Melayu,” katanya ketika berucap pada majlis resepsi PABM Piala Perdana Menteri di Seri Perdana di sini, hari ini.
Turut hadir pada majlis itu ialah Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mary Yap Kain Ching dan Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi, Tan Sri Dr. Noorul Ainur Mohd Nur.
PABM yang memasuki edisi ke-11 penganjurannya kali ini disertai oleh 52 peserta dari seluruh dunia termasuk Australia, Azerbaijan, China, Fiji, India, Mesir, Nigeria, Palestin, Perancis dan Korea Selatan.
Rosmah berkata kehadiran ramai peserta dari institusi pengajian tinggi luar negara, pemerhati dan para pensyarah dari negara lain meyakinkannya bahawa PABM mampu menyemarakkan penggunaan bahasa Melayu di peringkat antarabangsa selaras dengan hasrat dan cita-cita kerajaan.
Tambah beliau, keunggulan Bahasa Melayu perlu dipacak dalam jiwa rakyat Malaysia sejak kecil lagi.
“Oleh itu, pelbagai pihak berkepentingan harus mengambil peranan dalam memartabatkan Bahasa Melayu ini, misalnya, ibu bapa, komuniti, pihak sekolah, para akademik dan pihak berwajib,” katanya.
Wakil peserta kali ini yang merupakan pemidato Jepun, Lisa Shimazaki dalam ucapannya berkata, PABM memberi peluang kepada bukan penutur Bahasa Melayu untuk mengenali budaya dan kesenian dunia Melayu.
Selain itu, PABM memastikan Bahasa Melayu terus berkembang dalam kalangan bukan penutur supaya ia tidak terus tenggelam dalam arus perubahan dunia.
Pertandingan akhir PABM akan berlangsung di Putrajaya, Rabu ini. – BERNAMA