VALLETTA – Malta mungkin segera memperakui pernikahan sejenis jika Parlimen menerima undang-undang baharu untuk batal rujukan gender dalam sistem perundangan negara tersebut.
Satu rang undang-undang disokong kuat Parti Nasionalis, pembangkang berhaluan kanan tengah, mengusulkan penghapusan istilah gender seperti suami, isteri, ibu dan bapa daripada terma undang-undang perkahwinan.
Sebaliknya negara pulau kecil di benua Eropah itu bakal menggantikannya dengan terminologi gender yang neutral sekali gus mengiktiraf hak perkahwinan golongan lesbian, gay, biseksual, transgender (LGBT) yang dikutuk tuhan.
Jika proses legislatif berjalan lancar, yang dijangka hampir lulus, Malta akan menghalalkan pasangan LGBT untuk mengambil anak angkat sesuai dengan jumlah yang mereka inginkan, menurut laporan media tempatan di sini.
Perkembangan terbaharu ini merupakan sebahagian daripada serangkaian reformasi serta dirancang untuk meningkatkan persamaan hak gender di negara yang secara tradisional memegang teguh ajaran Katholik.
Tahun lalu, Malta menjadi negara Eropah pertama melarang proses pemulihan terhadap LGBT untuk menjadi manusia normal kerana dianggap langgar hak asasi manusia dan doktor yang ingkar boleh didenda 10,000 euro.
“Malta ingin terus memimpin isu LGBT dan kebebasan awam, untuk dijadikan model bagi negara-negara lain di dunia,” kata Perdana Menteri Malta, Joseph Muscat, pemimpin Parti Buruh ketika dihubungi stesen BBC.
Namun, beberapa anggota parlimen menyuarakan keprihatinan atas perubahan undang-undang perkahwinan termasuk pemimpin parti Nasionalis, David Agius yang terkejut dengan larangan penggunaan istilah ‘ibu’ dan ‘ayah’.
Baca: Taiwan Jadi Negara Pertama Asia Izin Kahwin LGBT

“Mulai sekarang, anda tidak boleh memanggil ‘ibu’ atau ‘ayah’ pada orang tua anda kerana tidak ada dalam undang-undang rasmi negara. Bukankah kita merayakan ‘orang yang melahirkan hari ini’ sebagai ganti ‘Hari Ibu’?” soalnya.
Paderi Kristian Agung Malta, Charles Scicluna menyatakan bahawa pihak gereja “tidak melawan kaum LGBT” namun mengkritik usul perubahan terhadap undang-undang perkawinan yang membenarkan perkahwinan gay.
“Penekanan istilah gender yang paling disayangi termasuk ‘suami dan isteri’ serta ‘ibu dan ayah’ dalam perundangan Malta ini jika diluluskan pihak Parlimen sangat membimbangkan kami sendiri,” kata beliau.
Beberapa anggota Parlimen Malta telah mengusulkan untuk menyimpan rujukan tradisional dan spesifik jantina dalam undang-undang sambil menambah terminologi baharu yang memungkinkan pasangan sejenis bernikah.
Rang perundangan baharu itu namun telah dikesampingkan oleh pemerintah. Menteri Kehakiman Malta, Helena Dalli berhujah bahawa “memperkenalkan beberapa terminologi baharu bukanlah sebuah hak kesetaraan”.
Sebagai sebuah negara dengan tradisional Katholik yang amat kuat, Malta hanya melegalkan proses perceraian secara rasmi pada tahun 2011 lalu setelah satu referendum awam mengenai isu tersebut dilakukan.
Bagaimanapun sejumlah inisiatif reformasi baru-baru ini terhadap nasib golongan LGBT telah membuatkan Malta ‘naik’ ke peringkat paling atas sebagai antara negara yang mesra dengan golongan dilaknat oleh Tuhan itu.
Jika perubahan yang diajukan itu berjaya disahkan oleh Parlimen, Malta akan menjadi negara Kesatuan Eropah yang ke-13 berjaya menghalalkan pernikahan sesama kelompok pengamal LGBT. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA

